Monday, February 7, 2011

Peristiwa 13 Mei : Sejarah perhubungan Melayu-Cina

1.0        Pengenalan
Ulasan ini mengfokuskan peristiwa 13 Mei, peristiwa rusuhan kaum yang terbesar dan pertama dalam sejaran Malaysia moden dengan melihat perjalanan sejarah perhubungan Melayu-Cina hasil karya Leon Comber yang diterbitkan oleh ISB BUKU SDN.BHD cetakan kedua 2007 dan diterjemah oleh Omarudin Haji Ashaari daripada buku yang bertajuk 13th May 1969 : A Historical Survey of Sino-Malaya Relations terbitan Heinemann Educational Books ( Asia ) Ltd. Walau bagaimanapun, ulasan hanyalah tertumpu kepada tiga bab yang utama sahaja, iaitu dari bab enam hingga bab lapan ( 64 hingga 109 muka surat ) dengan mengabaikan lima bab yang sebelumnya kerana kurang relevan dengan tuntutan ruang lingkup masa bagi subjek ini iaitu, selepas kemerdekaan Tanah Melayu 1957 sehinggalah 1990.
2.0        Ulasan Bab 6 hingga 8 ( Sebelum Rusuhan 13 Mei, Peristiwa 13 Mei dan Selepas )
2.1 Bab 6 : Sebelum Rusuhan 13 Mei
Cadangan  sebuah ‘Perikatan Agung Malaysia’ telah diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961 selaku Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu semasa berucap di dalam suatu majlis makan tengahari di Singapura yang menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara British dan Brunei. Cadangan ini bukanlah diilhamkan sepenuhnya oleh beliau tetapi telah diutarakan oleh Lord Brassey dalam tahun 1887 dan diteruskan oleh Malcom MacDonald semasa menjadi Pesuruhjaya Agung British di Asia Tenggara dalam tempoh antara tahun 1949 hinggah 1952. Selain daripada ketiga-tiga tokoh diatas, idea yang menyentuh akan penubuhan Malaysia turut disarankan oleh beberapa tokoh yang melihat akan kepentingan penubuhan tersebut dalam mewujudkan sebuah unit ekonomi yang sama disamping menyentuh akan aspek keseimbangan kaum, iaitu kepentingan kemasukan Borneo Utara British, Brunei dan Sarawak dalam Malaysia bagi mengimbangakan jumlah penduduk bumiputera dan Cina berikutan saranan akan penyatuan Singapura dengan Tanah Melayu seperti yang telah dipersetujui oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961, iaitu kemasukan Singapura penting dalam pembentukan kerjasama ekonomi dan keselamatan negara berikutan kewujudan pengaruh anasir-anasir komunis dalam Parti Tindakan Rakyat ( PAP ) yang akan mengancam keselamatan Tanah Melayu.
Konsep ini mendapat sokongan UMNO dalam tempoh masa tahun 1956 hingga 1960 kerana telah berjaya menarik perhatian pejuang Melayu yang menganggap penduduk-penduduk pribumi Borneo sebagai orang-orang Melayu dan menjadi aset bagi menguatkan lagi kedudukan mereka terhadap orang-orang Cina kerana penduduk pribumi Borneo yang dilebihi oleh orang-orang Cina dengan nisbah tiga satu secara mutlaknya dapat mengimbangkan jumlah besar orang Cina di Singapura. Hasil dari kejayaan perlaksanaan idea inilah akan dikupas bentuk perjalanan sejarah perhubungan Melayu dengan Cina sehingga tercetusnya rusuhan 13 Mei berikutan sikap orang Melayu dengan jelas tetap merasakan bahawa orang-orang Cina sentiasa berfikir dan bertindak sebagai orang Cina dan tidak memberi apa-apa tanda yang mereka mempunyai pandangan bahawa mereka adalah penduduk Malaysia. Hal akan perkara ini dengan jelas pernah diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman sendiri di dalam ucapannya berikutan kecenderungan orang-orang Cina di Singapura yang cuba menjadikan Singapura sebagai ‘Negeri Kecil China’ yang jelas bertentangan dengan corak kerajaan di Tanah Melayu yang berdasarkan cara hidup nilai Melayu.
Dalam masa yang sama, tidak dinafikan wujud perasaan gentar dalam kalangan penduduk bukan Melayu di Utara Borneo dan Sarawak akan wujudnya paksaan agama Islam dan Bahasa Melayu berikutan pengaruh golongan orang-orang Melayu Bangsawan yang terbesar di Malaysia yang seterusnya menjadi ketua pentadbiran menggantikan pentadbiran Inggeris. Namun segala perkara tersebut nyata menjadi kebimbangan yang tidak berasas selepas kerajaan Tanah Melayu memindah perlembagaan dengan meluluskan Akta Malaysia 1963 yang membolehkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi di kedua-dua negeri tersebut selama sepuluh tahun serta agama Islam bukan agama rasmi. Singapura turut diberi layanan yang berlainan dan mendapat autonomi dalam mengusai pelajaran, buruh serta perkara-perkara lain disamping penerimaan rakyat yang setaraf dengan rakyat Persekutuan Tanah Melayu.
Walaupun Sultan Brunei telah menukar fikiran untuk tidak memasuki Malaysia berikutan perasaan tidak puas hatinya dengan peraturan kewangan yang merugikan Brunei sebagai sebuah negeri yang kaya dengan minyak serta penolakan permintaan baginda untuk disamakan tarafnya dengan Raja-raja Melayu di Semenanjung Malaysia tidak diterima, namun ini tidak mengagalkan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, walaupun telah lewat sebulan dari tarikh asalnya iaitu 31 Ogos 1963 berikutan wujudnya tentangan daripada Indonesia dan Filipina.
Apabila mempersoalkan kembali akan hal integrasi antara kaum yang pelbagai di Malaysia,  terutamanya hal yang menyentuh akan perhubungan dengan orang-orang Melayu dan Cina tidak dinafikan sejak dari awalnya perkara tersebut tidak wujud melainkan hanyalah berbentuk persetujuan atau persefahaman antara pemimpin atasan UMNO dan MCA yang jelas bagi melindungi kepentingan kaum masing-masing, iaitu hak istimewa orang-orang Melayu yang tidak boleh dipersoalkan dan kuasa politik yang tidak boleh dicabar dalam memperbaiki kedudukan ekonomi bagi mewujudkan perseimbangan antara kedua-dua kaum serta berperanan dalam pembangunan ekonomi negara yang disifatkan oleh orang-orang Cina sebagai penyusunan semula ekonomi yang telah merampas peluang mereka namun tidak bagi orang-orang Melayu kerana orang-orang Cina masih dibenarkan untuk meneruskan kegiatan perdagangan dan perusahaan tradisi tanpa sebarang gangguan.
Isu berkaitan pengimbangan ekonomi ini sebenarnya telah wujud sejak Gerald Templer menjadi Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Februari 1952 yang mendapat arahan dari Kerajaan British agar keperluan pemberian galakan dan bantuan kepada orang-orang Melayu agar berperanan sepenuhnya dalam pembangunan ekonomi negara yang seimbang tanpa tanpa melibatkan pengorbanan mana-mana jua kaum terhadap tradisi kebudayaan dan adat resam mereka sebagai bangsa Malaya yang ideal dan bersatu padu yang akhirnya telah membawa kepada perlaksanaan beberapa buah badan separuh kerajaan dan institusi sebagai organisasi yang berperanan dalam memperbaiki keadaan hidup dan menambahkan pendapatan penduduk luar bandar yang terdiri daripada petani-petani Melayu, seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan ( FELDA ) pada tahun 1956 dengan membuka tanah-tanah baru bagi mendapatkan hasil getah dan kelapa sawit yang tinggi untuk peneroka Melayu. Kemudiannya, pada tahun 1960 Majlis Amanah Rakyat ( MARA ) yang pada awalnya dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Luar Bandar ( RIDA ) pada tahun 1950 digabungkan bersama Institusi Teknologi MARA yang ditubuhkan pada tahun 1954 sebagai sebuah Institusi Pengajian Profesional untuk Perdagangan sepenuhnya dan antara tahun 1966 hingga 1970, MARA telah menyediakan 4 800 pinjaman berjumlah M$31 juta untuk pelbagai projek kepada ahli-ahli perniagaan Melayu dan pengusaha-pengusaha kecil, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA ) pada tahun 1952 bagi memperbaiki sistem pemasaran dan menentukan harga yang berpatutan, Bank Bumiputera pada tahun 1956 serta Bank Pertanian Malaysia pada tahun 1969 bagi memberi pinjaman kepada petani-petani Melayu.
Segala perlaksanaan tersebut difikirkan lebih berkesan untuk memperluaskan dan menyelaraskan kemudahan pinjaman kepada petani-petani Melayu yang secara tidak langsung dapat menghapuskan cengkaman dan kawalan pengusaha dan ceti-ceti India terhadap tanah serta pekedai dan pengilang padi Cina terhadap hasil pertanian kepunyaan orang-orang Melayu walaupun Enakmen Tanah Simpanan Melayu telah diluluskan pada tahun 1933, namun tidak begitu berkesan dalam mengurangkan hutang orang-orang Melayu.
Dalam Perancangan Malaysia Pertama 1966 hingga 1970 sendiri jelas banyak memberi kesenangan kepada murid-murid melayu berikutan pembinaan ¾ daripada sekolah rendah dan separuh dari sekolah menengah di luar bandar disamping penyediaan asrama di beberapa buah sekolah aliran sains di bandar, malah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar turut diwujudkan bagi menentukan perlaksanaan yang segera dan licin dari segi kemajuan yang jelas sekali menguntungkan orang-orang Melayu, iaitu 28% daripada jumlah penduduk bandar Semenanjung Malaysia dalam tahun 1970, Cina 58% dan India 13%. Namun, walau bagaimana sekalipun cara yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam usaha mengimbangkan ekonomi antara orang Melayu dan Cina, keadaan tidak seimbang tetap wujud disebabkan perbezaan pelajaran, pekerjaan dan harta benda ataupun peluang dalam mendapatkan sumber-sumber pengusahaan akibat tumpuan orang Melayu terhadap kegiatan yang mendatangkan hasil pendapatan yang rendah walaupun adanya kemajuan dan hasil yang banyak. Tambahan lagi, tidak dinafikan lebih banyak pembangunan berlaku di kawasan bandar berbanding di luar bandar yang pastinya menjadi tumpuan orang-orang Cina dan sehingga 1970, 41% daripada masyarakat Cina tinggal di bandar dan 19% daripada semua orang Cina di Semenanjung Malaysia tertumpu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh. Malah dalam tahun 1969, orang-orang melayu hanya memiliki 1.0% saham daripada model syarikat-syarikat sendirian berhad tempatan di Semenanjung Malaysia berbanding orang-orang Cina sebanyak 22.8% sehingga memaksa kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 30% daripada perusahaan dan hakmilik perdagangan dan perindustrian mestilah dalam tangan bumiputera dalam lingkungan 20 tahun yang pastinya telah menambahkan ketegangan dalam masyarakat Melayu dan Cina.
Oleh itu apabila mempersoalkan kembali akan hal kemasukan Singapura dalam pembentukan Malaysia, sememangnya bukanlah perkara yang mudah kerana orang-orang Melayu di Semenanjung Malaysia tetap menganggap Singapura bersifat kecina-cinaan kerana ditadbir oleh parti Cina, Parti Tindakan Rakyat ( PAP ) walaupun tidak bercorak perkauman kerana ahlinya bukannya dalam kalangan Cina sahaja, namun 75% daripada penduduk Singapura adalah dalam kalangan masyarakat Cina. Oleh itu, untuk membina perhubungan haruslah mengambil kira kedua-dua pihak tersebut, namun demikian, perkara ini dilihat sukar kerana dari aspek politik sendiri turut memaparkan perbezaan coraknya, iaitu PAP di Singapura terkenal dengan sikap menceroboh dan biasa menang dalam perbahasan berbanding UMNO yang bersifat sederhana dan berfahaman lama kerana penyelesaian pertikaian adalah dengan cara rundingan meja bulat sebarang membuat sebarang perisytiharan umum. Hal ini jelas sekali apabila PAP bertindak mengambil bahagian kecil dalam pilihanraya Persekutuan pada April 1964 dan bertegas mahu menggantikan tempat MCA dalam Perikatan UMNO-MCA-MIC yang secara tidak langsung telah memberi cabaran terhadap cengkaman kuasa politik UMNO, namun hal ini tidak menjadi kenyataan apabila Tunku Abdul Rahman sendiri bertegas untuk berdiri teguh dengan MCA dan keputusan dalam pilihanraya tersebut nyata tidak memihak kepada PAP kerana hanya seorang calon sahaja yang terpilih dengan perolehan 808 undi sahaja berbanding Perikatan yang memperoleh 89 daripada 104 kerusi Parlimen Persekutuan, 241 kerusi Dewan Undangan Negeri dan PAP tiada.
Namun hal ini tidak mematahkan usaha PAP untuk kekal dalam poltik di Semenanjung Malaysia sehingga Lee Kuan Yew bertindak menubuhkan pakatan baru yang dianggotai oleh pembangkang sebagai Pertubuhan Perundingan Perpaduan Malaysia yang memegang cogankata “Malaysia untuk rakyat Malaysia” dengan penegasan manifesto “bangsa dan negara tidak pula dikenali dengan kuasa, kesejahteraan hidup dan kepentingan mana-mana kaum jua” yang akhirnya mengundang syakwasangka pejuang UMNO kerana dengan jelas PAP bertindak menentang UMNO sehingga menyentuh isu sensitif berkaitan dengan hak keistimewaan dan kedudukan orang-orang Melayu dalam perlembagaan sungguhpun telah diakui oleh Lee Kuan Yew pada April 1965 walaupun masih mempertikaikan bahawa keistimewaan tersebut lebih banyak membantu golongan bangsawan Melayu untuk menjadi pemodal dan tidak membantu golongan petani Melayu yang sebenarnya hanyalah muslihat semata-mata bagi mengukuhkan kedudukan PAP di Semenanjung Malaysia.
Dalam menghadapi cabaran ini, UMNO terus berusaha menguatkan kedudukan mereka di Singapura melalui peranan yang dimainkan oleh Syed Ja’afar Albar ( Setiausaha Agung UMNO ) yang dikenali sebagai ‘pelampau’ oleh Lee Kuan Yew berikutan tindakan Albar membuat ucapan penentangan terhadap PAP dan Cina yang berapi-api di Singapura dan dalam akbar Utusan Melayu bertulisan jawi yang membawa kepada rusuhan orang Melayu-Cina pada Julai 1964 semasa perarakan Maulud Nabi berikutan penyebaran risalah yang mendesak orang-orang Melayu menentang Orang-orang Cina serta menyembelih apabila ditemui di mana sahaja yang memaksa pengeluaran perintah berkurung di Singapura akibat huru hara yang tidak dapat dikawal oleh polis pencegah rusuhan dan askar sehingga mengorbankan 22 orang terbunuh dan 500 tercedera.
Dalam pada masa yang sama turut berlaku Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia, oleh itu Tunku Abdul Rahman bertindak menyalahkan anasir-anasir subversif Indonesia akibat tindakan membangkitkan perasaan tidak puas hati terhadap hak-hak orang Melayu di Singapura dalam rusuhan tersebut. Malah dalam rusuhan yang kedua di Singapura pada September 1964, askar-askar payung terjun Indonesia telah mendarat di bahagian selatan Semenanjung Malaysia yang dapat mengukuhkan kenyataan Tunku terhadap tindakan pengacau Indonesia yang mengambil kesempatan tentang pengabaian masyarakat Melayu Singapura oleh kerajaan Singapura yang tidak membuat peruntukan untuk memberi layanan istimewa terhadap sesuatu bangsa atau kaum.
Malah sehingga Mei 1965, persoalan mengenai perhubungan Melayu-Cina menjadi semakin kusut dan dengan terang-terang Lee Kuan Yew telah mencabar hak keistimewaan orang-orang Melayu dengan membangkitkan sejarah penghijrahan orang Melayu ke Malaysia pada 700 tahun yang lalu hanyalah dalam bilangan yang sedikit, malah 1/3 daripada 39% adalah pendatang seperti Setiausaha Agung UMNO, Syed Ja’afar Albar dari Indonesia sebelum perang semasa berusia 30 tahun yang disifatkan salah dan tidak logik adil dipanggil rakyat Malaysia. Keadaan ini akhirnya memaksa Tunku Abdul Rahman secara rasminya pada 9 Ogos 1965 mengumumkan penyingkiran keluar Singapura dari Malaysia yang secara tidak langsung membawa kepada pembubaran PAP kerana telah menjadi parti luar negeri namun kemudianya, pada Mac 1966 wakil tunggal PAP di Dewan Rakyat telah mendaftarkan kembali sebagai parti baru, Parti Tindakan Demokratik ( DAP ) dengan identiti yang berbeza dari segi undang-undang.
Dari aspek lain selain perpaduan yang mendorong pertikaian Singapura-Malaysia turut bersabit mengenai Perlembagaan yang berhubung ekonomi dan kewangan berikutan persoalan sama ada Singapura dibiarkan sebagai Pusat Perdagangan dan Perindustrian Malaysia atau pembinaan kepada perusahaan Malaysia lain serta kemestian Singapura memberi pinjaman kepada Malaysia Timur yang semestinya menyumbang kewangan kepada kerajaan pusat. Selain itu, peruntukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi di Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri selepas 1967 berdasarkan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 mengundang ketidaktetapan pendirian berhubung sikap kerajaan yang tidak teguh terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dalam pendidikan mahupun tujuan rasmi.
          2.2 Bab 7 : Peristiwa 13 Mei
Sehingga menjelang Pilihanraya Negeri dan Persekutuan, persoalan dalam kalangan orang bukan Melayu berkaitan hak istimewa orang-orang Melayu berhubung dengan pekerjaan iaitu kuota 4:1 dalam jawatan-jawatan perkhidmatan awam sebagai cara kerajaan memperseimbangkan kedudukan orang-orang Melayu dengan Cina dalam perdagangan dan perusahaan sengaja diabaikan oleh para pemimpin Perikatan sehingga mengundang perasaan tertindas dalam kalangan mereka ditambah lagi dengan penghinaan kaum yang dilakukan secara sewenang-wenang dan tanpa perasaan bertanggungjawab oleh parti pembangkang yang terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysai ( PMIP ), Parti Tindakan Demokratik ( DAP ), Gerakan Rakyat Malaysia ( Gerakan ) dan Parti Progresif Rakyat ( PPR ) serta Perikatan sendiri. Tunku Abdul Rahman dengan tegas memberi tekanan berat dalam mengekalkan hak keistimewaan orang-orang Melayu pada 9 Mei dalam siaran Radio Malaysia mengenai pembahagian kuasa antara Melayu dalam politik dan Cina dalam ekonomi yang disifatkan sebagai jalan persefahaman kaum.
Pengetepian UMNO akan hal ini berikutan tuduhan menyokong dan menjual negara Malaysia kepada orang-orang Cina daripada musuh utamanya, PMIP, parti pembangkang yang tertua sekali sebagai Parti Islam yang bersifat perkauman Melayu dan menentang hebat orang-orang Cina dengan matlamat untuk mewujudkan sebuah negara Islam di Malaysia serta memindah Perlembagaan yang lebih berbentuk Melayu daripada bercorak Malaysia dengan cogankata “bangsa, agama dan Tanah Melayu”. UMNO bertindak membalas tuduhan tersebut dengan membangkitkan kewujudan hubungan PIMP dengan Parti Komunis Malaya di selatan Thai, bantuan kewangan dalam pembanguan ekonomi Kelatan yang dikuasai oleh PIMP sejak 1959 akibat kegagalan membangunkannya, parti orang-orang Cina kerana mempuanyi persefahaman dengan DAP dalam pilihanraya serta mendapat bantuan kewangan dari PAP di Singapura.
DAP pada kaca mata UMNO merupakan parti perkauman yang menentang Melayu, hak istimewa orang Melayu dan memperjuangkan PAP, malah merupakan ancaman besar kepada MCA atas tuduhan menyerahkan hak orang-orang Cina kepada UMNO dalam Perikatan serta menentang perbezaan kaum berdasarkan konsep ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’, iaitu negara yang berbilang kaum, bahasa, masyarakat dan agama.
Perikatan turut mendapat tentangan hebat daripada Gerakan Rakyat Malaysia ( Gerakan ) yang ditubuhkan pada 1968  dengan cogankata ‘persamaan hak, keadilan dan persamaan peluang untuk semua’ yang bertujuan untuk mengurangkan 2/3 suara terbanyak di Parlimen supaya Perikatan tidak dapat mengubah hak dan jaminan hidup dalam Perlembagaan yang turut disertai oleh Parti Demokratik Bersatu ( UDP ) yang dimansuhkan pada tahun yang sama serta ahli yang keluar dari Parti Buruh Malaya ( Labour Party of Malaya ) LPM yang ditubuhkan pada 1950. LPM disifatkan oleh kerajaan mempunyai hubungan dengan Komunis malah sebilang besar ahilnya dalam kalangan pelampau-pelampau Cina yang menentang Melayu dan menyokong kuat pelajaran dan kebudayaan Cina namun tidak mengambil bahagian dalam pilihanraya kerana merasakan ianya semata-mata sebagai alasan kerajaan untuk mengaburi mata masyarakat berkenaan persoalan Melayu-Cina dan bertindak memulaukannya, namun 2 minggu sebelum hari membuang undi, LMP terlibat dalam pembunuhan seorang ahli UMNO di Pulau Pinang pada bulan April dan sepuluh hari kemudian salah seorang ahli LMP ditembak mati oleh Polis kerana melawan ketika ditangkap di Kuala Lumpur yang membawa kepada perarakan mayat besar-besaran pada 9 Mei 1969, sehari sebelum pilihanraya yang hampir meletuskan rusuhan kaum yang serius melibatkan 10 000 orang sambil melaungkan Moa Tse-tung, Malai si ( Melayu mati ) dan hutang darah dibayar darah serta menyanyikan lagu Komunis ‘Timur itu Merah’ yang telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu namun berjaya diatasi oleh pihak Polis.
Parti pembangkang terakhir yang turut mencabar kedudukan Perikatan adalah Parti Progresif Rakyat ( PPR ) yang sangat berpengaruh di Perak bagi memperjuangkan hak orang-orang Cina dengan cogankata ‘Malaysia untuk Rakyat Malaysia’ yang pada awalnya menyokong pendirian Perikatan mengenai hak istimewa orang-orang Melayu, bahasa dan soal-soal pelajaran namun bertindak menentangnya selepas merdeka dan dengan secara terang-terang memperjuangkan dasar berbagai-bagai bahasa bagi mendapatkan pengiktirafan rasmi akan Bahasa Cina dan Tamil.
Akibat daripada tentangan yang wujud ini secara tidak langsung mengugat kemenangan secara total Perikatan dalam pilihanraya 1969 menyebabkan Perikatan hanya memenangi 66 kerusi daripada 103 yang dipertandingkan dengan jumlah perolehan undi sebanyak 48.41%, DAP memenangi 13 daripada 24 kerusi membawa perolehan undi 13.73%, 8.57% undi dipungut oleh Gerakan hasil kemenangan 8 daripada 14 kerusi yang dipertandingkan dan PPR pula hanya tumbang 2 kerusi dari 6 yang dipertandingkan yang membawa perolehan undi 3.87%. Kekalahan sebanyak 25.84% dalam pilihanraya tersebut dipandang serius oleh orang-orang Melayu dan langsung mengkehendaki agar kedudukan mereka dikaji semula yang membawa kepada mesyuarat tertutup dalam kalangan pengarah-pengarah pilihanraya UMNO bagi menuntut agar lebih ramai orang Melayu dalam Jemaah Menteri dan harus memegang Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dan Kewangan yang dahulunya dipegang oleh Menteri Cina dalam MCA, kemudian digantikan dengan pelantikan Tun Abdul Razak dan Mohamed Khir Johari. Dalam pada itu juga, Tun Tan Siew Sin, Yang Dipertua MCA, telah mengumumkan bahawa MCA menarik diri dari kerajaan namun kekal dalam Perikatan akibat kehilangan kepercayaan pengundi-pengundi Cina.
Bagi Pembangkang,keputusan pilihanraya tersebut telah memberikan kejayaan kepada mereka untuk memberbaiki kedudukan lantas perarakan kemenangan telah diadakan di Kuala Lumpur  walaupun tidak mendapat kebenaran pihak Polis sehingga mengundang kesesakan lalulintas di merata-rata tempat malah bertindak mengumpat dan menghina 30 000 orang-orang Melayu di Kampung Baharu, kampung Melayu terbesar di Kuala Lumpur setelah memasuki kawasan tersebut dengan membuat penyataan bahawa Melayu sudah jatuh, Kuala Lumpur kini dimiliki oleh Cina, keinginan menghalau orang Melayu dan seumpama dengannya sehingga memaksa sekumpulan penyokong UMNO pada petang 13 Mei 1969 mengadakan tunjuk perasaan di luar kediaman Menteri Besar Selangor yang akhirnya telah meletuskan huru-hara antara Melayu-Cina sehingga membawa kepada rusuhan berterusan akibat tindakan saling bunuh-membunuh yang tidak boleh dikawal lagi oleh Polis dan tentera yang memaksa kerajaan mengeluarkan perintah berkurung 24 jam yang secara tidak langsung membawa kepada keadaan darurat dalam kerajaan Malaysia yang telah diisytiharkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasa 2 Akta 150 Perlembagaan Malaysia pada 14 Mei 1969 dan dalam masa yang sama Perlembagaan dan Parlimen telah digantung serta membawa kepada penangguhan pilihanraya di Malaysia Timur.
Keadaan ini juga membawa kepada penubuhan Majlis Gerakan Negara ( MAGERAN ) yang bertanggungjawab mentadbir negara mengikut perisytiharan darurat serta pelantikan sebuah jemaah menteri baru yang lebih berkuasa daripada Majlis Gerakan oleh Tunku Abdul Rahman. Kemuncak rusuhan kaum tersebut menyebabkan terputusnya perhubungan pengangkutan keretapi, bas dan udara dengan dunia-dunia luar malah turut menghentikan penerbitan akbar selama beberapa hari berikutan rusuhan, kebakaran dan kecurian harta benda yang terus menerus sehinggalah keadaan mula reda pada 29 Mei 1969. Darurat yang berlaku sehingga 31 Julai 1969 mencatatkan sebanyak 196 orang kehilangan nyawa, 439 tercedera, 9 143 ditangkap, 5 561 didakwa di Mahkamah, 6 000 kehilangan rumah, 211 kenderaan telah rosak dan 753 bangunan dimusnahkan oleh api. Sungguhpun semenjak Kerajaan Perikatan berkuasa selama 15 tahun telah ada rusuhan-rusuhan terpencil Melayu-Cina namun tiada rusuhan yang begitu dahsyat pernah belaku dalam sejarah Malaysia moden sebagaimana yang telah meletus pada 13 Mei 1969 berikutan perbezaan yang telah lama wujud dalam bidang sosial, politik dan ekonomi dalam kalangan Melayu-Cina.
          2.3 Bab 8: Selepas
Selepas berakhirnya rusuhan kaum terbesar tersebut, laporan rasmi MAGERAN pada 9 Oktober 1969  telah menyenaraikan faktor yang menyumbang kepada peristiwa tersebut yang turut menyokong tuduhan akan penglibatan Parti Komunis Malaya dan kongsi-kongsi gelap Cina seperti yang diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman serta menyentuh akan perbezaan tafsiran terhadap Perlembagaan oleh orang-orang Melayu, bukan Melayu dan pendatang tertentu berkaitan Artikel 153 meliputi tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kepentingan dan hak istimewa orang-orang Melayu dan juga kaum lain serta Artikal 152 yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan rasmi yang tunggal yang secara tidak langsung menunjukkan kedudukan Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil tidak sama kedudukannya. Selain itu, turut dibantu oleh kewujudan perkara-perkara yang menyemarakan perasaan perkauman semasa kempen pilihanraya, penghinaan kaum, ancaman DAP serta perarakan kemenangan Gerakan di Kuala Lumpur. Kerajaan kemudiannya pada tahun 1970 telah mengakui bahawa rusuhan tersebut disebabkan oleh sikap permusuhan dan perasaan yang tidak seimbang antara kaum, malah sehingga rusuhan tersebut berakhir, telah terputus hubungan dalam bidang sosial dan ekonomi antara orang-orang Melayu-Cina.
Langsung dalam menjalin kembali perhubungan tersebut, Tunku Abdul Rahman telah menubuhkan tiga buah institusi, Majlis-majlis Muhibah Kebangsaan di seluruh Malaysia dengan berbagai-bagai jawatankuasa tempatan pada bulan Julai 1969 untuk mewujudkan dialog antara kaum, Lembaga Perpaduan Negara dan Majlis Perunding Negara pada bulan Januari 1970. Kemudiannya, pada 31 Ogos 1970, ulangtahun ke-13 kemerdekaan, Yang di-Pertuan Agong secara rasmi telah mengisytiharkan pembentukan idealogi kebangsaan yang dinamakan Rukunegara sebagai model asas strategi dalam mewujudkan perpaduan kebangsaan yang disokong oleh semua parti politik serta diterima baik oleh orang bukan Melayu kerana memberi jaminan terhadap kebudayaan mereka yang tidak akan terancam disebabkan tiada rakyat yang boleh menyoal taat setia rakyat lain hanya kerana daripada sesuatu kaum tertentu.
Tunku Abdul Rahman kemudianya telah digantikan oleh Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ke-2 Malaysia selepas penyerahan surat peletakan jawatannya pada 22 September 1970 dan MCA telah menarik balik keputusannya untuk keluar dari kerajaan malah Tun Tan Siew Sim berkhidmat kembali sebagai Menteri Kewangan yang telah mengangkat kembali kedudukan Parti Perikatan sebagai peneraju kepimpinan negara yang membawa kepada pembukaan Parlimen baru pada 23 Februari 1971, menandakan berakhirnya pemerintahan selama 20 bulan yang dilakukan secara perisytiharan oleh MAGERAN.
Pemulihan kerajaan berparlimen membolehkan Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan ( Pindaan ) bagi mengesahkan perisytiharan pemindahan Akta Menghasut oleh MAGERAN yang menjadikan bersalah membincangkan secara terbuka persoalan perkauman yang mudah menyinggung perasaan termasuk pemansuhan hak istimewa Parlimen di peringkat Negeri dan Persekutuan dalam hal tersebut, serta kuasa lebih kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan nisbah orang-orang Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi terutamanya dalam perubatan, kejuruteraan dan sains yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Negara yang secara tidak langsung menjadikan MAGERAN sebagai Majlis Keselamatan Negara. Tun Abdul Razak kemudiannya bertindak mencantumkan Majlis Perunding Negara dan Majlis Muhibah sebagai Majlis Perpaduan Negara yang berperanan sebagai sebuah badan penasihat kebangsaan dan menjalankan penyelidikan perhubungan antara kaum yang dianggotai oleh pelbagai kaum.
Pendekatan dalam aspek perancangan pembangunan ekonomi baru membawa kepada penyusunan Rancangan Malaysia Kedua 1971 – 1975, yang memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru dalam menghapuskan kemiskinan dan mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia yang melibatkan proses permodenan di luar bandar dan mewujudkan golongan perdagangan dan perindustrian dalam kalangan masyarakat Melayu dalam mengimbangkan pertumbuhan kedudukan ekonomi di bandar sebagai strategi baru untuk mewujudkan perpaduan kebangsaan. Maka, dalam merealisasikan hal ini kerajaan telah menubuhkan MARA ( Majlis Amanah Rakyat ), Pernas ( Perbadanan Nasional ), UDA ( Perbadanan Pembangunan Bandar ) dan PEKN ( Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri ) bagi membantu dan membimbing bumiputera khususnya agar memainkan peranan yang lebih dalam kehidupan ekonomi dalam konteks memperluaskan ekonomi negara sebagai cara beransur-ansur menghapuskan identiti kaum berdasarkan fungsi ekonomi. Walaupun dasar-dasar kerajaan tentang bahasa dan pendidikan disifatkan sebagai punca utama peperangan mulut yang kerapkali, namun dari sudut pendirian kerajaan ianya mampu menghasilkan orang-orang Cina berpandangan hidup sebagai rakyat Malaysia sekiranya menerima pendidikan melalui bahasa pengantar Bahasa Melayu secara beransur-ansur kerana mereka boleh berasimilasi sebagai Cina-Malaysia dan bukannya suku kaum Cina-Malaysia, tambahan lagi mereka sendiri tidak dapat mengasingkan diri dalam masyarakat Malaysia.
3.0        Penilaian
Apa yang jelas dalam kupasan peristiwa 13 Mei ini, ianya lebih mengfokuskan kepada masalah perpaduan yang wujud antara Melayu dan Cina sebelum terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963, iaitu bagaimana wujudnya pengaruh luar yang bertindak mengapi-apikan permasalahan dalam negara yang jelas melalui tindakan negara Indonesia dengan melancarkan Ganyang Malaysia bagi mencapai tujuan pembentukan Indonesia Raya serta penglibatan Singapura dalam politik di Tanah Melayu yang turut sama mempersoalkan akan Artikel 152 dan 153 dalam Perlembagaan yang secara tidak langsung membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang-orang Melayu dan Cina yang telah sekian lama dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk meletus. Walaupun peristiwa ini telah mengorbankan banyak nyawa dan harta benda, namun ianya telah membuka mata kerajaan Malaysia dalam merancang dasar-dasar negara dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial agar tidak mengabaikan kepentingan setiap kaum.

No comments:

Post a Comment