Friday, March 18, 2011

penilaian impak alam sekitar ( EIA )



1.0 Pengenalan

Apakah itu Penilaian Impak Alam Sekitar “Environmental Impact Assessment” ( EIA )? Menurut United Nations Environmental Programme - UNEP (1979), EIA adalah suatu kajian bagi mengenalpasti, meramal dan menghuraikan akan kebaikan dan keburukan sesuatu cadangan projek pembangunan yang menuntut keperluan adanya hubungan komunikasi di antara pihak-pihak terlibat iaitu masyarakat setempat, pemaju dan pihak berkuasa bagi melicinkan keadaan. Selain itu, menurut Muhammad Rizal R dan Kadir A (2002), EIA juga merupakan satu kajian mengenalpasti, meramal, menilai dan mendapatkan informasi melalui komunikasi yang dibuat terhadap pihak-pihak terlibat, yang mana ianya berkaitan dengan kesan terhadap alam sekitar yang berpunca dari cadangan projek pembangunan serta menyenaraikan langkah-langkah mitigasi sebelum projek pembangunan berkenaan diluluskan dan beroperasi.

2.0 Prinsip-prinsip asas PIAS

Perspektif Penilaian Impak Alam Sekitar (PIAS) menetapkan beberapa prinsip asas dengan tujuan untuk melindungi alam sekitar melalui cara pencegahan. Menurut Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, dalam rujukan 499: Ordinan Impak Alam Persekitaran, No. 1/2002. prinsip-prinsip asas PIAS adalah seperti berikut:- Prinsip satu ialah perancangan proaktif dan menetapkan keputusan. Proses PIAS adalah alat perancangan proaktif untuk mengelak masalah yang timbul dan kesan persekitaran yang menyebabkan kerugian pada awalnya atau pengalaman yang pernah dialami dalam pembangunan yang dirancang. Prinsip dua ialah penghindaran dan pencegahan persekitaran buruk yang timbul. Menurut Scott Wilson Ltd. (1996), proses PIAS bertujuan untuk mengelak dan mencegah kesan persekitaran yang buruk melalui projek yang dicadangkan dan yang dirancang. Prinsip tiga ialah memberi kesan positif terhadap keputusan yang dibuat seawal yang mungkin dan berfikiran proaktif tentang pilihan dan alternatif yang terbaik. Menurut Sadler B (1996), ini sangat penting untuk memudahkan setiap usaha bagi meningkatkan prestasi persekitaran yang ingin dicapai pada tahap awal projek perancangan kemudian pada tahap seterusnya iaitu projek pembangunan untuk hasil yang memuaskan. Prinsip empat ialah proses projek kitaran sepanjang hidup. Proses PIAS haruslah melibatkan suatu tindakan yang dinamik untuk mengenalpasti dan meramal kemungkinan kesan persekitaran yang akan buruk daripada pembangunan yang telah dirancang bagi mengembangkan langkah-langkah untuk mengelak, mencegah dan mengurangkan masalah persekitaran.Prinsip lima ialah membuat cadangan penguatkuasaan PIAS. Cadangan PIAS haruslah rasional, praktikal dan berkesan, dengan memberi maklumat tentang 5W ( seperti : apakah tindakan yang akan dilaksanakan, oleh siapa, bila, di mana dan mengapa) dan dengan definisi yang jelas mengenai tanggungjawab untuk melaksanakan langkah-langkah yang dicadangkan. Tindakan yang dicadangkan haruslah mudah bagi mengelakkan masalah persekitaran yang merugikan daripada berlaku.Prinsip enam ialah fleksibel yang telus, dengan penyertaan awam serta kemampuan untuk mengadaptasi perubahan. Proses PIAS haruslah telus dan mengutamakan penyertaan awam.


Prinsip tujuh ialah hasil percubaan secara praktikal dalam persekitaran dan masyarakat. Salah satu tujuan proses PIAS adalah untuk menyampaikan dan menghasilkan komunikasi persekitaran secara praktikal dalam persekitaran dan masyarakat. Prinsip lapan ialah fokus pencegahan terakhir. Fokus permulaan adalah melibatkan usaha untuk menyelamatkan sejumlah besar kerugian yang dialami atau kos lain yang mungkin wujud seperti kos perbelanjaan yang mahal.Prinsip sembilan ialah kecekapan dan keberkesanan. Menurut Ridgway, et.al (1996), pendekatan yang cekap dan berkesan dalam melakukan kajian proses PIAS perlu diutamakan dan langkah demi langkah yang diambil akan meningkatkan produktiviti dalam proses PIAS itu sendiri. Prinsip sepuluh ialah perjanjian telus antara pihak-pihak yang berkaitan, harapan yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan dan apa yang akan dilaksanakan, dan keputusan yang jelas tentang konflik lain yang wujud.

3.0 Persepktif PIAS

3.1 Sudut perundangan

Di Malaysia, EIA diletakkan dibawah Seksyen 34A (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127) yang memberi kuasa kepada Menteri Sains dan Teknologi dan Alam Sekitar untuk menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang dirasakan akan memberi kesan kepada alam sekitar selepas berbincang dengan Majlis Kualiti Alam Sekeliling. Selepas aktiviti disenaraikan maka, ia perlu dikemukakan kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar untuk diluluskan. Laporan berkenaan mestilah menyentuh tentang tindakan dan langkah yang akan diambil bagi mengelak, mengawal, dan mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar. Jika sekiranya laporan yang dikemukakan tidak menepati syarat yang telah ditetapkan dalam Seksyen 34A (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 maka, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar berkuasa untuk menolak laporan tersebut dan laporan yang lebih lengkap dan menepati syarat boleh dikemukan sekali lagi. Menurut Laporan Tahunan JAS 2007, daripada 49 laporan EIA yang diterima dan diproses, hanya 27 laporan EIA iaitu 55% diluluskan, 18 laporan EIA lagi ditolak dan 4 ditarik semula oleh pihak pemaju.

Jika sekiranya didapati ada pemaju yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling, maka pemaju boleh didenda sehingga seratus ribu ringgit (RM 100,000) atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali.Sekiranya aktiviti masih dijalankan selepas Ketua Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan notis agar projek dihentikan maka denda sebanyak RM 1000 sehari untuk pemaju yang ingkar terhadap arahan tersebut. Menerusi Seksyen 34A (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di atas, dapat dinyatakan disini bahawa akta ini bertujuan untuk mengawal dan menyediakan satu kaedah yang berkaitan dengan 19 aktiviti yang disenaraikan antaranya seperti pertanian, pengairan dan saliran, dan perumahan.

3.2 Indeks persekitaran

Indeks persekitaran juga perlu dipertimbangkan sebelum, semasa atau selepas projek dilaksanakan. Ini bagi mengelakkan indeks kualiti alam sekitar terjejas. Bagi penyediaan Laporan indeks Kualiti hidup Malaysia 1999, proses kutipan data untuk perkiraan kualiti udara, peratusan sungai bersih dan peratusan keluasan hutan dibuat bagi tempoh 14 tahun iaitu bermula dari 1985 hingga 1998. Kualiti udara 1999, akan dinilai berdasarkan kandungan purata tahunan Plumbum (Pb) dan jumlah partikel terampai di atmosfera yang dipantau oleh beberapa buah stesen di seluruh negara. Bagi kualiti air pula, peratusan sungai bersih mencatatkan penurunan iaitu 55.8% pada tahun 1985 kepada 27.5% untuk tahun 1998. Terdapat pelbagai usaha dijalankan oleh pihak kerajaan seperti kempen ‘Cintailah Sungai Kita’ dan projek sungai angkat yang dijalankan di sekolah–sekolah terpilih.

3.3 Pelan perancangan

Bagi melaksanakan sesebuah projek, pemaju perlu melalui beberapa pengurusan atau prosedur yang telah ditetapkan oleh EIA. Antara prosedur tersebut adalah:

i. Penilaian Awal terhadap aktiviti-aktiviti yang ditetapkan.

ii. Penilaian terperinci terhadap semua aktiviti yang ditetapkan yang mana kesan-kesan tertinggal alam sekitar yang ketara sepertimana yang telah diramalkan dalam Penilaian Awal.

iii. Laporan-Laporan Penilaian Awal dan Terperinci dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan sebelum projek dilaksanakan.

Rajah 1 Prosedur Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA)



(Sumber : Garis Panduan Penyediaan Laporan Kesan Alam Sekitar Jabatan Alam Sekitar Malaysia).


3.4 Permonitoran


Bagi memastikan keberkesanan prosedur EIA, siasatan penguatkuasaan dan pemantauan telah dijalankan ke atas projek-projek yang telah mendapat kelulusan EIA. Langkah ini penting bagi memastikan segala ramalan impak dan langkah-langkah kawalan yang telah dicadangkan di dalam Laporan EIA dilaksanakan dengan sempurna dan berkesan. Program penguatkuasaan dan pemantauan bagi tahun 2007 dibuat berdasarkan keutamaan berikut:

i. Projek-projek yang masih di peringkat kerja tanah dan pembinaan seperti pembangunan bercampur dan projek perumahan.

ii. Projek-projek yang sedang beroperasi seperti kuari khususnya yang berhampiran dengan kawasan kediaman, tapak pelupusan sisa pepejal iaitu Bukit Tagar di Kuala Selangor, Jeram di Klang dan Resource Recovery Centre ( RRC) di Semenyih.

iii. Projek yang menjalankan kajian EIA Terperinci iaitu projek-projek yang melibatkan impak yang besar ke atas alam sekitar seperti kilang besi Megasteel di Banting.

3.5 Pengurusan dan prosedur
3.5.1 Pemilihan tapak

Tapak yang akan dijalankan projek akan dikaji dari segi kesesuaian melalui lawatan tapak dan maklumat yang ada. Dalam peringkat ini langkah-langkah melindungi alam sekitar dan menyelesaikan masalah sosioekonomi akan diselesaikan. Pampasan akan dikenakan kepada penduduk jika tempat mereka terjejas akibat daripada perlaksanaan projek tersebut dan isu berkaitan pampas an dan pelaburan projek ini diambil kira dalam EIA. Pemilihan tapak juga tidak boleh terletak dalam atau berhampiran dengan kawasan sensitif alam sekitar- Environmentally Sensitive Areas (ESA).

3.5.2 Menjalankan Analisis Alam Sekitar ke atas Cadangan Projek

Analisis alam sekitar yang dibuat mestilah dibuat oleh individu yang bertauliah serta berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah EIA Consultant Registration Scheme. JAS akan menolak laporan EIA yang dikendalikan oleh individu yang tidak berdaftar. EIA ini dijalankan bagi aktiviti yang ditakrifkan sebagai prescribe activities. Namun begitu projek kecil tidak memerlukan EIA tetapi itu tidak bermakna ia tidak perlu langsung untuk mengambil kira aspek alam sekitar.

3.5.3 Pihak Kuasa Meluluskan Projek


Semua projek dibawah prescribed activities perlu mendapatkan kelulusan EIA daripada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar sebelum diluluskan oleh pihak berkuasa Persekutuan atau negeri yang berkenaan untuk perlaksanaan. Pihak Berkuasa meluluskan merupakan pihak berkuasa kerajaan yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan pelaksanaan sesuatu projek.

3.5.4 Penilaian Strategik Alam Sekitar (SEA)

SEA merupakan satu lagi alat yang digunakan ketika membuat penilaian alam sekitar semasa merancang projek. Skop SEA lebih meluas berbanding dengan penilaian konvensional dan biasanya dibuat pada peringkat polisi dan program dan berkait dengan penilaian sosial dan ekonomi.

4.0 Kepentingan PIAS berdasarkan kajian kes di Malaysia

4.1 Memberi kemudahan kepada pihak berkuasa untuk menentukan samada sesuatu cadangan projek pembangunan seharusnya boleh diluluskan atau sebaliknya


Menurut Muhammad Rizal R dan Kadir A (2002), seperti kebiasaan dalam setiap perancangan pembangunan yang dilakukan haruslah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkenaan agar ianya boleh beroperasi, namun dengan adanya EIA, ianya telah memberi kemudahan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada sesuatu cadangan projek pembangunan seharusnya boleh diluluskan atau sebaliknya kerana EIA merupakan suatu kaedah terbaik bagi membentangkan sesuatu cadangan pembangunan. Misalnya keperluan penyediaan kajian EIA dalam pembanguan pengeluaran air bawah tanah untuk kegunaan industri, pertanian atau pembekalan air melebihi 4.5 MLD mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekitar 1975 bilangan 19 ( b ) agar tidak mengabaikan jumlah data yang diperlukan bagi setiap lokasi yang spesifik, pengiraan perlu diulangi dengan data berlainan untuk air hujan, trans-evaporasi, jenis tanaman dan tanah lokasi, impak kepada paras air serta kawasan aliran masuk dan kadarnya yang jelas telah diabaikan dalam laporan EIA oleh Sima Darby Berhad mengenai pembangunan projek sumber air bawah tanah di Batang Padang, Perak yang meliputi kawasan kira-kira 2,712 km untuk membekalkan air mentah ke kawasan Lembah Klang melalui pengekstrakan 50 juta liter setiap hari ( Milion Liter per Day – MLD ) pada penghujung tahun 2009 dan meningkat sehingga 500 MLD pada penghujung tahun 2010.

Ketidakupayaan laporan EIA tersebut dalam mengenalpasti, menilai dan menyampaikan maklumat mengenai impak kepada alam sekitar membawa kepada penolakan cadangan tersebut kerana hanya bersifat umum sahaja, iaitu hanya menggunakan persamaan keseimbangan air ( Hujan = Trans-evaporasi + Aliran Permukaan + Penyerapan ) dan data purata kadar aliran masuk untuk Malaysia sebanyak 6% berdasarkan kajian sumber air negara tanpa kajian terperinci terhadap impak proses pengekstrakan tersebut seperti yang berlaku di Sabah, negeri kedua tertinggi yang menggunakan air bawah tanah di Malaysia, permasalahan pengekstrakan air bawah tanah dalam pengurusan air di Sandakan selepas setahun beroperasi yang telah ditingkatkan dari 15 MLD ke 30 MLD menyebabkan berlakunya pengurangan kadar aliran masuk sehingga menjejaskan paras air bawah tanah dan kemudian barulah pengekstrakan dikurangkan ke 25 MLD untuk menstabilkan kadar aliran masuk melalui kajian keadaan akuifer air bawah tanah. Menurut FOMCA, WECAM dan Forum Air Malaysia (2009), keadaan sama turut dijangkakan berlaku berdasarkan kajian peta topografi Mukim Batang Padang yang terletak pada paras ketinggian melebihi 1200 meter, menyebabkan tekanan tinggi pada kawasan pengekstrakan di hilir akuifer terkurung dan kehilangan air adalah lebih cepat berbanding dengan kadar aliran masuk kerana terlalu spesifik dan kecil yang turut menjejaskan habitat serta memberi impak kepada loji-loji rawatan air yang bergantung kepada bekalan air mentah permukaan dari Mukim Batang Padang. Hal ini kerana, menurut J.Glasson et.al (1995), EIA memberikan cadangan alternatif dan mengemukakan pemeriksaan yang sistemtik terhadap implikasi alam sekitar yang berpunca daripada cadangan pembangunan yang secara tidak langsung. Menurut Brian D. Clarck (1984), EIA dapat menjimatkan masa serta wang dalam meminimumkan dan mengurangkan usaha yang berulang-ulang.

4.2 Memberi suatu rumusan yang tepat terhadap tindakan di dalam perancangan pembangunan.

Menurut J. Glasson et.al (1995), perkembangan EIA dengan pesat di serata dunia dalam aspek pengurusan alam sekitar menyebabkan pemaju merasakan EIA menjadi penghalang dalam menjayakan sesuatu projek pembangunan kerana terpaksa menunggu kesemua proses EIA selesai tanpa menyedari sebenarnya EIA membantu mereka mencari keputusan tepat terhadap tindakan dalam perancangan daripada berlakunya impak negatif alam sekitar. Menurut Muhammad Rizal R dan Kadir A (2002), pemaju,penduduk setempat dan pihak berkuasa dapat berbincang bagi mendapat rumusan yang tepat tanpa memberi kesan keburukan kepada alam sekitar, misalnya dalam projek pembinaan Empangan Kelau, Raub, Pahang yang telah disebarkan secara meluas di akhbar tempatan dan dipamerkan di tempat strategik selama sebulan untuk mendapatkan maklum balas dan ulasan daripada orang ramai serta 30 taklimat diadakan di antara orang asli dan pihak pengendali projek disamping pemberian pampasan satu banglo, enam ekar tanah dengan milik individu dan enam ekar tanah untuk buah-buahan di Sungai Bilut seluas 800 ekar yang menelan belanja RM37 bilion setelah mendapat persetujuan 85.4 peratus ketua isirumah orang Asli Kampung Temoi serta elaun bulanan berjumlah RM638 selama 48 bulan dan ganti rugi RM1.5 juta untuk bangunan, tanah, sayur-sayuran dan lain-lain sebelum dirujuk kepada lapan pakar yang telah dilantik oleh Jabatan Alam Sekitar sebelum diluluskan pada 24 Feb 2001 menurut Mohd Zawawi dalam akbar Bernama 27 Ogos 2010.

Rajah 2 Arah pemindahan air mentah dari Pahang ke Selangor melalui Empangan Keliau, Raub, Pahang.


Sumber : Mohd Zawawi, 27 Ogos 2010, Kelau: Permohonan Orang Asli ditolak, Bernama, pada Febuari 27 2011, daripada http://wargamarhaen.blogspot.com/2010/08/kelau-permohonan-orang-asli-ditolak.html.

4.3 Suatu kaedah dan cara untuk ke arah pembangunan yang berterusan

Menurut Muhammad Rizal R. dan Kadir A. (2002), EIA memainkan peranan sebagai suatu kaedah dan cara bagi menggelakkan masalah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti-aktiviti pembangunan yang dijalankan oleh pihak pemaju Pembangunan yang berterusan perlu bagi memelihara alam sekitar daripada gangguan dan pencerobohan oleh pencemaran. Menurut Laporan Brundtland 1987 dalam Muhammad Rizal R. dan Kadir A. (2002) mendefinisikan pembangunan yang berterusan sebagai “pembangunan yang memenuhi kepada kehendak keperluan di masa sekarang tanpa mengancam keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka”.

Satu contoh kajian kes ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menggunakan EIA sebagai panduan untuk menjalankan pembangunan di kawasan tersebut. Pihak berkuasa iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menetapkan beberapa kriteria-kriteria tertentu sebelum pihak pemaju mahu membuat pembangunan di kawasan tersebut. Kawasan yang menjadi perhatian utama pihak DBKL ialah di kawasan bukit dan cerun. Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar (2010), garis panduan yang telah disediakan haruslah dipatuhi oleh semua pihak terutamanya agensi pelaksana, pemaju, dan pihak awam sebagai panduan dalam merancang, membangun dan menyelenggara tapak-tapak di kawasan bukit dan cerun serta kawasan sekitarnya garis panduan tersebut meliputi beberapa skop iaitu garis panduan ini diguna pakai untuk semua tapak pembangunan yang terletak di WPKL, garis panduan ini diguna pakai oleh DBKL semasa mempertimbangkan dan membuat penilaian ke atas permohonan kebenaran perancangan yang dikemukakan melalui Urus Setia Pusat Setempat (OSC) DBKL dan garis panduan ini hanya melibatkan permohonan-permohonan baru yang belum memperoleh kelulusan pembangunan.

4.4 Menjadi sumber maklumat informasi

Menurut Muhammad Rizal R. dan Kadir A. (2002), EIA juga memberikan tindakan-tindakan alternatif bagi mengatasi kesan-kesan negatif terhadap alam sekitar Maklumat-maklumat yang didapati daripada EIA boleh digunakan oleh pihak pemaju untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar yang serius dengan mengubah kaedah pembangunan yang sedia ada kepada lebih mesra alam. Orang ramai juga dapat mengetahui situasi semasa mengenai alam sekitar yang berada di sekeliling mereka dengan maklumat yang telah disediakan. Contohnya jika berlaku tanah runtuh di kawasan pembinaan yang dikelilingi oleh rumah orang ramai, ini boleh menyebabkan kemalangan jiwa jika masyarakat di kawasan tersebut tidak tahu mengenai perkara tersebut. Oleh itu, betapa pentingnya EIA ini untuk memberi informasi. Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar (2010), contoh kes kajian ini ialah di WPKL yang memerlukan maklumat yang tepat dalam ketinggian bukit dan cerun yang hendak dibangunkan perkara ini perlu dipandang dengan serius kerana pihak berkuasa ingin mengelakkan bahagian-bahagian sensitif di kawasan tersebut terganggu yang akan menyebabkkan pencemaran alam sekitar.

5.0 Unsur-unsur analisis dan penilaian ekonomi PIAS

Menurut Megat Kamil Azmi (2010), EIA when integrated into the existing planning and dicision making structure provides additional information towards a better decision making. Jadi ini jelas bahawa melalui maklumat yang didapati melalui EIA dapat membantu pemaju-pemaju menjimatkan wang dan masa. Terdapat sesetengah pihak cuba memberikan pendapat dan penilaian mereka sendiri mengenai EIA yang kadang kala memerlukan prosedur yang merumitkan. Contohnya, pihak pemaju mendapati bahawa kos bayaran Fees Perkhidmatan Laporan EIA yang dikenakan oleh pihak jurutera di Malaysia adalah tinggi berbanding dengan bayaran fees bagi penyediaan laporan EIA di negara lain. Hal ini dapat dilihat berdasarkan maklumat daripada sebuah syarikat pemaju, Cas Fees Laporan EIA di Malaysia adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan Cas Fees Laporan EIA yang sama disediakan di negara Indonesia atau di negara Thailand. Malah daripada aspek dalaman di Malaysia, kadar bayaran fees ini berbeza-beza mengikut tempat bagi projek pembangunan yang sama. Pihak pemaju juga merasa terkilan kerana kadar bayaran fees khidmat yang tinggi ini tidak menjanjikan kelulusan dari pihak jabatan-jabatan kerajaan. H. Apabila keadaan ini berlaku, pihak pemaju terpaksa mengeluarkan sejumlah kos lagi sama ada untuk melantik jurutera lain atau jurutera yang terlibat untuk menyediakan laporan EIA semula. Menurut Mohd Nadzri Jaafar (1998), dari segi penilaian ekonomi ini juga, kita dapat lihat bahawa laporan EIA ini juga agak merumitkan kerana syarat-syarat yang dikenakan sehinggakan boleh berlakunya peningkatan kos kepada pihak pemaju. Misalnya, syarat pelupusan buangan sisa tumbuhan dan binaan hendaklah dibuang di tapak pelupusan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, sedangkan tapak pelupusan tersebut terletak jauh berpuluh-puluh kilometer mengakibatkan kos pengangkutan yang tinggi perlu dikeluarkan oleh pihak pemaju. Begitulah senario yang dapat dilihat mengenai rasa tidak puas hati pihak pemaju mengenai laporan EIA yang agak merumitkan dan memerlukan prosedur yang terperinci. Menurut Arthur Getis (2009),in sprawling urban industrial societies, the cultural landscape has come to outweigh the natural physical environment in its on people’s daily lives.Sememangnya pembangunan yang dicipta hari ini memerlukan kawalan agar masalah alam sekitar tidak berlaku.

6.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, EIA ataupun Environment Impact Assessment merupakan suatu kaedah yang berkesan yang mampu menjadi wadah atau medium bagi membuat penilaian sesuatu projek pembangunan itu sama ada sesuai dilaksanakan ataupun tidak berdasarkan penilaian kepada kesan alam sekitar. Semua pihak sama ada pemaju, Jabatan-jabatan yang terlibat dan masyarakat harus berganding bahu bagi memastikan suatu pembangunan itu bersifat lestari alam agar alam sekitar kita terpelihara dan menjamin kehidupan yang sejahtera.

Bibliografi

Arthur Getis. 2009. Introduction to Geography. New York: McGraw-Hill Companies Inc.

Brian D. Clarck, 1984, Perspective on Environmental Impact Assessment, Lancaster: R.Reidel
Publishing.

Department of Environment, Sport and the Territories, Australia, 1997, Report of the EIA Tripartite Workshop (Australia, Canada and New Zealand), Canberra, Australia.

EIA Process Strengthening Workshop Canberra 4-7 April 1995. A Report in Support of the

International Study of the Effectiveness of Environmental Assessment. Environment Protection Agency Australia, Canadian Environmental Assessment Agency, and International Association for Impact Assessment.

FOMCA, WECAM dan Forum Air Malaysia, 2009, Laporan Kajian bagi Projek Pembangunan
Sumber Air Bawah Tanah di Batang Padang, Perak Darul Ridzuan: Satu Peringatan
Kepada Malaysia, pada Febuari 21 2011, daripada
http://www.fomca.org.my/v2/images/stories/pdf/210809_bm.pdf

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar,

2010, Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit Dan Cerun Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia: Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar.

Impact Assessment Interorganisational Committee on Guidelines and Principles.1994. Guidelines
and Principles for Social Impact Assessment, Environmental Impact Assessment Volume 12, No. 2, 107-152.

Jabatan Perlindungan Alam Sekitar. 2002. Ordinan Impak Alam Persekitaran,rujukan 499
No.1/2002. Kota Kinabalu Sabah.

J.Glasson et.al, 1995, Introducation to Environmental Impact Assessment, London: UCL Press Laporan Tahunan JAS.2007.

Laporan Tahunan JAS.2009.

Megat Kamil Azmi , 2010, Bina Integriti:Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.
Kuala Lumpur: CIBD Malaysia.

Mohd Nadzri Jaafar, 1998, Permasalahan Dalam Mengendalikan Keperluan Laporan Penilaian

Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment –EIA) Terhadap Pembangunan Hartanah Dari Sudut Pemaju dan Jabatan Alam Sekitar. Johor: Akademik Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi.

Mohd Zawawi, 27 Ogos 2010, Kelau: Permohonan Orang Asli ditolak, Bernama, pada Febuari 27
2011, daripada http://wargamarhaen.blogspot.com/2010/08/kelau-permohonan-orang-asli-ditolak.html.

Muhammad Rizal R dan Kadir A, 2002, Penilaian Kesan Alam Sekitar “Environmental Impact Assessment” ( EIA ) dari sudut perundangan Malaysia dan kepentingannya, Journal Universiti Kebangsaan Malaysia, Volume 1, muka surat 603 – 611, pada Febuari 18 2011, daripada http://www.ukm.my/rsenr3/rsenr1/P603-611.pdf.

Ridgway et.al, 1996, Environmental Impact Assessment Training Resource Manual, Nairobi, Kenya: Prepared for the United Nations Environment Programme by the Australian Environment Protection Agency.

Sadler, B. 1996. Environmental Assessment in a Changing World: Evaluating Practice to Improve Performance, Final Report of the International Study of the Effectiveness of Environmental Assessment. Canadian Environmental Assessment Agency. Ottawa, Canada.

Scott Wilson Ltd. 1996. Environmental Impact Assessment: Issues, Trends and Practice. United Nations Environment Programme (Environment and Economics Unit). Nairobi,Kenya.

United Nations Environmental Programme, 1979, Draft Guidelines For assessing Industrial Environmental Criteria For The Setting of Industry, Paris: UNEP Industry & Environmental Office.

1 comment:

  1. BOLEHKAH ANDA MENGAJAR SAYA MENGISI BORANG MAKLUMAT PEMBANGUNAN INDUSTRI JAS?

    ReplyDelete