Monday, October 25, 2010

BAHASA MELAYU DAN ANJAKAN PARADIGMA



Bahasa Melayu dan anjakan paradigma
1.0  Pendahuluan
1.1               Pengenalan
Bahasa Melayu pada lumrahnya adalah suatu bahasa yang disifatkan kreatif kerana kedinamikannya yang mempunyai lebih daripada sepuluh bahasa asing di dalamnya seperti, Sanskrit, Tamil, Davida, Hindi, Arab, Farsi, Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris menurut Ariff ( 1990 ) dalam. Malah menurut Mohd Taib Osman dan Hassan Ahmad ( 1993: 102 ), daripada bahasa Melayu juga lah lahirnya istilah bahasa Indonesia pada tahun 1928 dan menurut Hashim Awang AR et. al. ( 1998: 249-250 ), bahasa Melayu juga berkemampuan dalam pelbagai bidang ilmu seperti matematik, sains, kejuruteraan, agama, peradaban dan lain-lain yang sebenarnya menunggak falsafah ilmu berikutan sifat bahasa Melayu yang berjati diri dari sudut psikologi yang berpotensi dimartabatkan sebagai bahasa ilmu tinggi. Segala sesuatu akan pencapaian bahasa Melayu ini bertitik mulannya hasil anjakan paradigma yang dilakukan dalam bahasa itu sendiri sejak awal kemunculannya sehingga ke hari ini, maka kajian penulisan ini akan membincangkan perubahan-perubahan dalam bahasa Melayu sesuai dengan perkembangan zaman.

1.2               Objektif
Apabila berbicara mengenai bahasa Melayu dan anjakan paradigma, maka harus diteliti akan keperluan mengupas bahasa Melayu itu sendiri melihat kepada bagaimana bahasa itu wujud sehinggalah ia mandiri menjadi satu bahasa yang harus dimartabatkan, maka segala sesuatu proses dalam  usaha memupuk dan memertabatkan bahasa Melayu adalah disifatkan sebagai suatu anjakan paradigma yang melihat kepada keharusan ianya harus berubah tanpa mengetepikan siapa yang mengubahnya. Hal ini menyokong konsep anjakan paradigma itu sendiri menurut Ibrahim Mamat ( 2001 ) dalam Yahya Don ( 2005 : 12 ), bukanlah bermaksud menidakkan keperluan yang lama, tetapi mengalih pandangan atau batasan pemikiran daripada terus terkongkong dengan perkara yang lama kepada perkara yang baru yang lebih baik berdasarkan realiti yang ada. Malah menurut Grundy ( 1993 ) dalam Brian Fidler ( 2009 ) pula, anjakan paradigma merupakan suatu percubaan yang sungguh-sungguh bagi menggerakkan  paradigma daripada satu keadaan kepada keadaan lain dengan mengekalkan beberapa ciri namun bukan semua ciri terasnya. Maksudnya disini, anjakan  paradigma dilakukan terhadap bahasa Melayu bagi membolehkan bahasa Melayu mampu berasimilasi dengan perkembangan semasa dengan menyentuh aspek perancangan bahasa yang banyak dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melihat kepada keperluan  masa depan bahasa Melayu tersebut.
1.3               Kaedah
Kaedah yang digunakan dalam kajian penulisan ini adalah menggunakan kaedah kajian perpustakaan berdasarkan sumber buku dan jurnal yang didapati secara langsung mahupun tidak langsung dengan menggunakan laman web.

1.4               Batasan
Segala sesuatu kajian memiliki batasnya tersendiri, maka dalam kajian penulisan ini adalah tidak dinafikan wujudnya batasan dalam mendapatkan sumber yang tepat dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh masa yang terhad.  Dalam aspek penelitian kajian penulisan pula, kajian adalah  terbatas kepada aspek bahasa Melayu dan anjakan paradigma semata-mata melihat kepada keperluan bahasa Melayu menerima kemasukan pengaruh bahasa Asing sesuai perkembangan zaman, perancangan dan masa depan bahasa Melayu it sendiri disamping menyentuh  perkaitan  perkembangannya berdasarkan perubahan dunia semasa yang sukar sekali mengetepikan akan isu-isu yang menyumbang kepada perkembangannya yang dimaninkan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Batasan kajian penulisan juga berhadapan dengan kesukaran mendapatkan data terbaru kerana tidak dapat menjalankan kajian lapangan bagi meneliti kebenaran isu-isu tersebut.
1.5               Definisi konsep
Konsep yang harus difahami dalam kajian penulisan ini adalah berkisar kepada kehendak  tajuk  kajian yang berfokuskan konsep anjakan paradigma bagi melihat ruang lingkup penulisan itu sendiri. Anjakan paradigma menurut Ibrahim Mamat ( 2001 ) dalam Yahya Don ( 2005 : 12 ), bukanlah bermaksud menidakkan keperluan yang lama, tetapi mengalih pandangan atau batasan pemikiran daripada terus terkongkong dengan perkara yang lama kepada perkara yang baru yang lebih baik berdasarkan realiti yang ada. Menurut Grundy ( 1993 ) dalam Brian Fidler ( 2009 :  ) pula, anjakan paradigma merupakan suatu percubaan yang sungguh-sungguh bagi menggerakkan paradigma daripada satu keadaan kepada keadaan lain dengan mengekalkan beberapa ciri namun bukan semua ciri terasnya. Terdapat juga penulis yang mengutarakan pendapat mengenai frasa paradigma itu sendiri yang merujuk kepada parameter minda yang dikaitkan dengan cara individu berfikir, membuat tanggapan dan memahami dunia menurut Daft ( 1997 : 25 ) dalam Aizzat Mohd. Nasurdin, Intan Osman dan Zainal Ariffin Ahmad ( 2006 : 26 ).

2.0  Sejarah ringkas Bahasa Melayu

Sehingga ke hari ini banyak sejarawan yang merumuskan akan hal asal usul Bahasa Melayu sebagai suatu yang masih kabur yang masih memerlukan kajian lanjut dan mendalam, maka penulisan ini secara tidak langsung akan membincangkan secara ringkas berkaitan sejarah Bahasa Melayu dari aspek konsep etimologi ( perkataan ) dan bangsa, salasilah dan hipotesis tempat asal Bahasa Melayu bagi mengetahui apakah kapasiti-kapasiti yang ada pada Bahasa Melayu sehingga ianya terus dibangunkan sebagai suatu bahasa yang memiliki masa depannya sendiri.
1.1               Konsep etimologi dan bangsa
Dari aspek etimologi atau perkataan, ‘Melayu’ menurut Zuber Usman dalam Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006:  ), berasal daripada perkataan ‘Himalaya’ yang telah disingkatkan kepada ‘Malaya’ yang kemudiannya menjadi ‘Melayu’. Selain itu, terdapat juga pengkaji yang mengutarakan bahawa ‘Melayu’ berasal daripada perkataan ‘Malaiyur-pura’ yang terpahat pada prasasti Bukit Gombak 1 di Sumatera Barat yang akhirnya menimbulkan perkataan malaiyur = malaiyu = malayu = melayu. Menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006:  ), perkataan ‘Melayu’ berasal daripada perkataan Jawa Kuno dan Baru, iaitu ‘Mlaya’ dan ‘Mlayu’ yang membawa maksud lari. Tambahan beliau lagi, perkataan ‘ Melayu’ turut merujuk kepada kerajaan, iaitu berasal daripada perkataan ‘Malayu’ yang merujuk kepada sebuah kerajaan yang berpusat di Muara Jambi pada abad ke-7 ( 644 M ) yang mendapat nama sempena nama sebatang sungai, iaitu ‘Sungai Malayu’ yang sangat deras arusnya selaju orang berlari yang disifatkan mempuanyi pengertian yang sama dalam Bahasa Jawa.
Dari aspek konsep perkataan ‘Melayu’ berdasarkan bangsa adalah merujuk kepada teori awal perpindahan golongan manusia yang diberi nama Austronesia dari daerah Yunan ke wilayah Asia Tenggara, iaitu Melayu Proto ( 2500 M ) dan Melayu Deutro ( 1500 M ) menurut Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj Musa dan Abdul Hamid Mahmood ( 2004: 3 ). Menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 11 ) pula, penggunaan perkataan ‘Melayu’ pada abad ke-17 merujuk kepada istilah yang lebih luas yang merangkumi suku bangsa serumpun di Nusantara merujuk kepada istilah UNESCO ( 1972 ).

“......Melayu itu merupakan satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga bahasa yang sama, bentuk fizikal tubuh badan yang hampir sama,berkulit sawo matang, rambut lurus dan tinggi yang sederhana dan penduduk asli di satu kawasan yang sangat besar, iaitu suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar yang merupakan satu stock bangsa yang sejak beberapa lama dahulu dikenali sebagai Malayo-Polynesia ( Melayu-Polinesia ) atau Austronesia....”

Merujuk kepada Perlembagaan Malaysia sendiri menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 8 ), Perkara 160 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 mengariskan ‘Melayu’ sebagai seseorang yang berbahasa melayu, berkebudayaan melayu dan beragama Islam.

1.2               Salasilah Bahasa Melayu
Kajian salasilah Bahasa Melayu akan merujuk kepada asal usul atau keturunan Bahasa Melayu itu sendiri yang mana menurut Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Hj Musa dan Abdul Hamid Mahmood ( 2004: 3-4 ), berasal dari rumpun bahasa Austronesia yang tergolong dalam satu keluarga bahasa besar bahasa Austris ( Austroasia, Tibet-Cina dan Austronesia – Nusantara, Polinesia, Melanesia dan Mikronesia ) dalam cabang Nusantara, iaitu jumlah bahasa yang paling banyak merangkumi 16 golongan kira-kira 200 hingga 300 bahasa. Hal ini turut diutarakan oleh Kamal Shukri Abdullah Sani ( 2007: 2 ), bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa yang berasal dari rumpun bahasa Austronesia ( Nusantara Barat dan Timur, Melanesia dan Polinesia ) dalam kelompok Nusantara Barat ( Malagasi, Acheh, Melayu, Jawa,Sunda, Dayak, Tagalog, Sibu, Bisaya dan lain-lain ) yang digunakan di sebelah timur gugusan pulau-pulau Melayu dan Nusantara sejak abad pertama masihi menurut Abdullah Hassan ( 2005:23).
Hal ini turut diutarakan oleh James T.Collins ( 2005 ), iaitu kewujudan akan Bahasa Melayu sebagai salah satu komponen daripada 1000 bahasa yang terpenting dalam rumpun bahasa Austronesia yang terbentuk di Taiwan yang kemudiannya tersebar dibahagian selatan, timur dan barat melalui Filipina yang turut mempunyai perhubungan dengan bahasa-bahasa Polinesia menurut William Marsden ( 1754-1836 M ) dalam Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 1 ) yang banyak mengkaji bahasa di Asia Tenggara dalam karya penulisannya, seperti A Dictionary of the Malayan Language dan A Grammar of the Malayan Language ( 1812 ) dan sehingga sekarang dikenali sebagai Bahasa Melayu-Polinesia oleh Wilhelm Von Humboldt ( 1767-1835 ) dalam Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 2 ) berdasarkan perincian hubungan antara bahasa-bahasa di Asia Tenggara yang serumpun dalam karyanya Uber die Kawisprache auf der Insel Java ( 1836 ) yang turut disokong oleh Abdullah Hassan ( 2005: 23 ) berdasarkan jadual yang telah diambil dari Crowely ( 1987 ) dalam James T.Collins ( 2005: 3 ). Walaupun begitu, terdapat juga pengkaji barat, seperti John Crawfurd dalam Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 2 ) yang tidak mempersetujui perkaitan yang wujud antara Bahasa Melayu dengan Polinesia kerana tidak sekeluarga.

1.3               Hipotesis tempat asal Bahasa Melayu
Menurut Northefer ( 1996 ) dalam James T.Collins ( 2005 ), kesepekatan ahli-ahli arkeologi menyatakan bahawa Bahasa Melayu di kepulauan gugusan Melayu bermula di Kalimantan sebelum tersebar di bahagian barat menyeberangi Laut China Selatan pada 100 masihi dahulu melalui Pulau Tambela dan Riau sebelum ke Sumatera dan ke selatan Benua Asia atau kini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia. Pada masa yang sama juga tidak dinafikan berlaku penyebaran Bahasa Melayu di bahagian utara, selatan dan timur sehingga ke barat Pulau Luzon yang kini dikenali sebagai Teluk Manila dan seterusnya di bahagian timur kepulauan Maluku ( Indonesia ).
Kewujudan penggunaan Bahasa Melayu turut dibuktikan oleh Bede dalam James T.Collins ( 2005 ), pada abad ke-8 dalam Caedmon’s Hymn to the Creator yang menyatakan akan wujudkan tulisan teks tertua Bahasa Melayu bertarikh 682 masihi di atas batu di Sumatera yang mengadaptasi ortografi india berdasarkan palawa yang dikenali sebagai teks Bahasa Melayu Kuno.
3.0  Bahasa melayu dan anjakan paradigma

Anjakan paradigma yang cuba diterangkan dalam penulisan ini melihat kepada keperluan bahasa Melayu berasimilasi mengikut zaman perkembangannya berdasarkan  takrifan Grundy ( 1993 ) dalam Brian Fidler ( 2009 ), akan keperluan anjakan paradigma dalam bahasa Melayu yang disifatkan merupakan suatu percubaan yang sungguh-sungguh bagi menggerakkan paradigma daripada satu keadaan kepada keadaan lain dengan mengekalkan beberapa ciri namun bukan semua ciri terasnya yang turut disokong oleh Ibrahim Mamat ( 2001 ) dalam Yahya Don ( 2005 : 12 ), iaitu bukanlah bermaksud menidakkan keperluan yang lama, tetapi mengalih pandangan atau batasan pemikiran daripada terus terkongkong dengan perkara yang lama kepada perkara yang baru yang lebih baik berdasarkan realiti yang ada.. Maka dalam ulasan ini, adalah difikirkan perlu untuk memperjelaskan anjakan paradigma yang telah dilakukan dalam bahasa Melayu mengikut zaman perkembangannya dalam usaha mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu menurut Yahya Othman, Roselan Baki dan Naffi Mat ( 2009: 39 ), dapat diklasifikasikan mengikut tahap dari Bahasa Melayu Purba ( 2500 masihi ), Bahasa Melayu kuno ( abad ke-7 masihi ), Bahasa Melayu Klasik ( abad ke-12 masihi ), Bahasa Melayu Pramoden dan Bahasa Melayu Moden ( abad ke-19 ).

3.1  Bahasa Melayu Purba

Bahasa Melayu Purba menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 27 ), merupakan bahasa yang wujud pada zaman prasejarah, atau pendek kata belum ada bukti sejarah yang bertulis untuk mengsahihkan  penggunaan bahasa tersebut namun terdapat juga pengkaji yang mengatakan bahawa bahasa Melayu telah wujud pada abad kedua Masihi, iaitu di Campa, Vietnam berdasarkan rekonstruksi ( mencari sebutan asal ) maklumat  pada bahasa dan dialek Melayu, misalnya nama pokok gajus yang mempunyai pelbagai nama dan sebutan dalam dialek Melayu, iaitu gajus, jagus, janggus, kajus, ketereh, jambu golok dan jambu monyet berdasarkan perubahan bunyi bersuara ke tak bersuara yang disifatkan sebagai satu penyimpangan bunyi, iaitu penyengauan bunyi. Kajian terhadap bahasa Melayu Purba inilah yang telah mencetuskan keperluan untuk melakukan anjakan paradigma melihat kepada kelemahan-kelemahan yang ada pada bahasa Melayu.

3.2  Bahasa Melayu Kuno dan pengaruh bahasa Sanskrit
Kelahiran Kerajaan Jambi dan Sriwijaya pada abad ke-7 hingga abad ke-13 memperlihatkan fasa perkembangan bahasa Melayu Purba kepada bahasa melayu Kuno yang menjadi semakin penting terhadap Kerajaan Sriwijaya walaupun memiliki pengaruh budaya Hindu-Buddha yang kuat, namun bukanlah alasan untuk menyingkirkan peranan bahasa Melayu sebaliknya menerimanya sebagai bahasa untuk kegiatan perdagangan, pentadbiran dan perhubungan umum sehingga diangkat sebagai bahasa rasmi kerajaan yang besar dan luas jajahan takluknya meliputi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Segenting kera dan Sri Lanka. Maka adalah dirasakan perlu untuk membuat anjakan paradigma melihat kepada keperluan bahasa Melayu Kuno bagi memastikannya terus bertapak dan kukuh sebagai lingua franca di Kepulauan Nusantara dengan memerima kemasukan pengaruh bahasa Sanskrit yang secara tidak langsung menjadi asas permodenan bahasa Melayu Kuno yang telah membawa kepada pengenalan tulisan bahasa Melayu Kuno menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 9-10).
Sistem tulisan bahasa Melayu Kuno ini dibuktikan melalui empat batu bersurat penting yang dikaitkan dengan Kerajaan Sriwijaya, sebuah kerajaan tempatan yang kemudiannya berkembang luas mempengaruhi hampir keseluruhan kepulauan Melayu, iaitu Kedukan Bukit ( 683 M ), Talang Tuwo ( 684 M ), Kota Kapur ( 686 M ) dan Karang Brahi ( 686 M ). Hal ini boleh diteliti kebenarannya berdasarkan contoh tulisan bahasa Melayu Kuno dalam batu bersurat tertua Kedukan Bukit, Palembang yang telah menerima pengaruh bahasa Sanskrit menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 37-38 ).
Swasti Shri
Shakawarsatita 605 ekadashi
Shuklapaksa Wulan Waishakha dapunta
Hijang naik disambu mangalap siddhayatra
Di Saptami Shuklapaksa Wulan
Jyestha dapunta hiyang marlapas dari Minanga Tamvan ( Tamvar? )
Mamawa jang bola dua laksa
dangan.....dua ratus
tsyara disambau dangan jalan
Saribu tlu ratus sapuloh
dua banyaknya. Datang
di Matajap ( Mataya? )
sukhatshitta
Di pantshami shuklapaksa Wulan
... laghu mudik datang
marwuat manua ... syriwijaya
jayasiddhayatra subhiksa

Perkataan-perkataan yang condong dalam petikan diatas merupakan perkataan-perkataan Melayu dan yang selebihnya adalah bahasa Sanskrit, manakala tanda ... disifatkan sebagai bahagian yang tidak dapat dibaca dan perkataan-perkataan ( nama-nama tempat ) yang ditulis dalam kurungan disertai tanda tanya merupakan alternatif bagi nama tempat yang sama.
Pengenalan sistem tulisan Bahasa Melayu Kuno ini disifatkan sebagai titik kepada permulaan anjakan paradigma yang pertama dalam bahasa Melayu menurut Ismail Hussein ( 1966: 10-11 ) melalui pengaruh bahasa Sanskrit yang merupakan bahasa sarjana atau golongan atasan yang digunakan secara meluas di Kepulauan Melayu yang telah berjaya mengangkat kedudukan bahasa Melayu dari bahasa masyarakat yang rendah kebudayaan serta ilmu pengetahuannya menjadi bahasa sarjana yang sanggup menyampaikan idea-idea baharu yang tinggi. Menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 6 ), pengaruh utama bahasa Sanskrit dalam permodenan bahasa Melayu Kuno adalah merangkumi dari segi perbendaharaan kata dengan kemasukan banyak perkataan baharu yang melibatkan aspek-aspek kebudayaan dari India meliputi bidang nama tubuh badan ( bahu, kepala, muka dan rupa ), barang perdagangan ( neraca, laba, kedai dan kodi ), alat perkakas ( bajan, pili, jala, penjara dan sutera ), ilmu pengetahuan ( guru, pujangga, bahasa, sastera dan bijaksana ),nama binatang ( gajah, singa, serigala, angsa dan kuda ),tumbuh-tumbuhan ( biji, cempaka, cendana, delima dan kasturi ),senjata ( cemeti, sauku dan sena ) serta perkataan-perkataan agama ( dosa,surga, neraka, agama dan puasa ). Tambahan lagi, penerimaan terhadap pengaruh bahasa Sanskrit ini adalah perlu bagi mengatasi kekurangan kosa kata dalam bahasa Melayu itu sendiri dalam menyatakan perkara tertentu disamping sifat bahasa yang mudah dibentuk dan dilentur untuk disesuaikan dengan segala keadaan dan keperluan.
Menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: ), penerimaan terhadap pengaruh bahasa Sanskrit ini secara tidak langsung telah membentuk sistem fonologi dan morfologi bahasa Melayu Kuno, misalnya menggunakan huruf /w/ sebagai fonem separuh vokal bagi fonem /b/, menggunakan vokal depan luas /a/ bagi vokal e pepet atau vokal tengah, konsonan diucapkan dengan aspirasi bunyi /h/, bh, dh, kh dan th, sengauan gusi /n/ bagi sengauan lelangit /ny/ dan perubahan fonem yang tidak konsisten, iaitu fonem /u/ berubah menjadi /o/ pada awal ayat tetapi tidak berubah dalam lingkungan suku kata tertutup.
Dari sudut morfologi pula, ianya lebih kepada perubahan imbuhan dalam bahasa Melayu Kuno, iaitu awalan /ni-/ bagi /di-/, /mar-/ bagi /ber-/, /par-/  bagi /per-/, awalan /nipar-/ bagi awalan /diper-/, apitan /par- ... –an/  bagi apitan  /per- ... –an/, kata kerja aktif ditandai oleh awalan /ma-/ dan /mang-/, awalan /maka-/ dan akhiran /-a/ dan /-i/ yang sama seperti dalam bahasa melayu Moden yang biasanya wujud bersama-sama dengan imbuhan awalan.
3.3  Bahasa Melayu Klasik dan pengaruh bahasa Arab
Bahasa Melayu terus berasimilasi dengan perkembangan semasa yang membawa kepada kemunculan bahasa Melayu Klasik pada abad ke-14 hingga abad  ke-19 bersamaan dengan kemasukan pengaruh bahasa Arab yang membawa kepada pembentukan sistem tulisan Jawi dan telah mencapai tahap kegemilangan pada zaman kerajaan Kesultanan Melaka, kerajaan Aceh dan Johor-Riau sebagai bahasa lingua franca, bahasa pentadbiran atau urusan rasmi dan bahasa ilmu pengetahuan untuk menyampikan ajaran Islam dan Kesusasteraan. Menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 11-13 ), zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka merupakan  zaman yang paling penting dalam menilai kesinambungan anjakan paradigma dalam bahasa Melayu Klasik yang menjadi alat penyebaran agama Islam, satu agama yang tinggi darjat kebudayaannya yang secara tidak langsung telah memperkembangkan perbendaharaan kata dengan pesat yang terbit daripada keperluan untuk memperktakan idea-idea baharu yang dibawa oleh peradaban Islam. Hal ini dibuktikan melalui penemuan batu bersurat di Sungai Teresat dekat Kuala Berang, Terengganu pada tahun 1303 hingga 1387 Masihi yang menggunakan tulisan Jawi dan merupakan bukti tulisan batu terakhir kerana selepas abad ke-14 telah muncul zaman kesusasteraan Melayu bercetak.
Rasul Allah dengan yang orang ... bagi mereka ...
ada pada Dewata Mulia Raya beri hamba
meneguhkan agama Islam
dengan benar bicara derma meraksa bagi
sekalian hamba Dewata Mulia Raya
dibenuakan ini penentu agama Rasul Allah
Salla’llahu’alaihi wa Sallama Raja
Mendelika yang benar bicara sebelah Dewata
Mulia Raya di dalam behumi.
Penentuan itu fardu pada sekalian Raja Mendelika
Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar
bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah
Seri paduka
Tuhan menddukkan tamra ini di benua Terengganu
adipertama ada
Jumaat di bulan Rejab di tahun sarathan
di sensakala
Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua

Walapun selepas jatuhnya kerajaan Kesultanan Melayu  Melaka pada tahun 1511, menurut James T.Collins ( 2005: 32 ), bahasa Melayu tidak hilang pengaruhnya sebagai bahasa perdagangan yang mampu menampung dan menyerap idea-idea baru. Hal ini turut diutarakan oleh Reid ( 1988 ) dalam James T.Collins ( 2005: 32 ), berkaitan posisi khusus bahasa Melayu pada abad perdagangan.
“Bahasa Melayu menjadi bahasa perdagangan di Asia Tenggara. Penduduk dari kota besar perdagangan diklasifikasikan sebagai orang Melayu kerana mereka berbicara dalam bahasa itu dan memeluk agama Islam, walaupun keturunannya berasal dari Jawa, Mon, India, Cina dan Filipina ... Setidak-tidaknya mereka yang berjualan dan berdagang di pelabuhan-pelabuhan besar berbicara dalam bahasa Melayu, seperti berbicara dalam bahasa mereka sendiri.”
Hal ini mendorong penyebaran bahasa Melayu berlaku lebih rancak lagi pada abad ke-18, seperti yang diutarakan oleh Francois Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis tentang wilayah kepulauan Melayu menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 14 ).
“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga kepulauan Filipina.”
Ketinggian martabat bahasa Melayu dan luas penggunaannya di wilayah ini turut dibuktikan melalui amalan surat-menyurat antara pentadbir dan raja-raja di kepulauan Melayu, bahkan antara penguasa Melayu dan bukan Melayu serta sebaliknya sebagai alat perhubungan yang seakan-akan mengetepikan penggunaan bahasa mereka sendiri walaupun  datang dari barat seperti orang Inggeris, Belanda dan Perancis menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 65 ) berdasarkan manuskrip Melayu yang tertua dalam bentuk surat kiriman pada tahun 1521 an 1522 yang ditulis oleh Sultan Ternate, Maluku di Indonesia Timur kepada Raja Portugal di Eropah Barat. Tarnate merupakan sebuah kerajaan di luar daerah induk bahasa Melayu dan oarng Ternate dikatakan mempunyai bahasanya sendiri, sedangkan Raja Portugal adalah bangsa orang Portugis yang berbahasa Portugis namun menggunkan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat yang secara tidak langsung menggambarkan  bahawa bahasa Melayu telah berjaya menjadi lingua franca.
Keperluan bahasa Melayu  ini menjadikannya banyak menerima pengaruh bahasa Arab dari aspek kosa kata, tatabahasa ( struktur ayat dan penggunaan perkataan ) dan perkembangan sistem tulisan dan ejaan disamping pengekalan pengaruh bahasa Sanskrit untuk membolehkan bahasa Melayu mampu berasimilasi dengan keperluan semasa yang semakin berkembang.
Apa yang paling penting hasil daripada penerimaan terhadap pengaruh bahasa Arab ini menurut Uka Tjandrasasmita ( 2008: 4 ), telah membawa kepada perkembangan aksara Jawi sebagai sistem tulisan bagi bahasa Melayu Klasik yang terbahagi kepada empat perkembangan, iaitu pada tahap pertama mengikut ejaan Arab sepenuhnya dengan menggunakan tanda-tanda baris atau diakritik yang kemudiannya berkembang menjadi tulisan Arab gondol atau tanpa baris yang menghasilkan homograf ( ejaan yang sama ) sebelum berasimilasi dengan bahasa Melayu. Selepas pengasimilasian, perkembangan ini memperlihatkan penggunaan huruf-huruf saksi atau vokal – alif, wau dan ya  yang diletakkan pada suku kata pertama dan kedua. Keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa penyebaran agama Islam yang berkembangan dengan rancak memerlukan penerimaan tulisan Jawi dalam bahasa Arab yang mempuanyi 37 huruf dan enam daripada huruf tambahan, iaitu ca, nga, ga, nya, pa dan va bagi mengangkat peranan tersebut yang terbukti penggunaannya dalam Batu Bersurat Terengganu yang mengandungi undang-undang Islam dengan menggunakan tulisan jawi dan banyak perkataan Arab dan sedikit kata pinjaman bahasa Sanskrit dan Jawa.
Menyedari kepentingan akan bahasa Melayu ini, sejak abad ke-17 lagi menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 14 ), para sarjana Eropah telah berusaha untuk menyusun kamus dan daftar kata yang disifatkan sebagai bentuk usaha tertua dalam bidang penyelidikan terhadap bahasa sebelum diteruskan lagi kepada bidang-bidang lain seperti morfologi, sintaksis dan fonologi. Hal ini digambarkan oleh Ismail Hussein ( 1966: 15-16 ), akan kegiatan  yang begitu pesat di kalangan sarjana-sarjana Eropah dalam bidang perkamusan dan penghasilan daftar kata.
Menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 64 ), daftar kata yang tertua ialah Cina-Melayu yang dicatat pada 1403 Masihi yang mengandungi 482 patah kata, kemudian selepas itu baru timbul Daftar Kata Itali-Melayu yang disusun oleh Antonio Pigafetta pada 1522 yang mengandungi 426 patah kata semasa berada di Ambon dan Brunei. Tambahannya lagi, perkamusan melayu bermula dengan dwibahasa sebelum adanya kamus ekabahasa akibat keperluan para pemgembara, pedagang, pegawai-pegawai Syarikat Hindia Belanda dan Inggeris, para pengembang agama Kristian untuk tujuan berdagang, mengadakan hubungan diplomatik, mengembangkan ajaran agama dan lain-lain.
Bahasa Melayu kemudiannya menjadi semakin kukuh dan tersebar luas ke kawasan persisiran Sumatera, khususnya di Palembang dan Aceh yang secara tidak langsung telah menggantikan Melaka sebagai pusat keintelektualan Melayu menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 16-17 ). Di Aceh, tertutamanya, kegiatan penulisan daripada penulis seperti Sheikh Nuruddin al-Raniri, Hamzah Fansuri dan Shamsuddin al-Sumatrani tersebar luas sehingga ke daerah-daerah persisiran lain di seluruh Sumatera termasuklah di Palembang dan Brunei. Kegiatan persuratan Melayu melalui bahasa Melayu dan tulisan Jawi ini mencapai kemuncak di sebuah pulau di kepulauan Riau, Penyengat yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau dan menjadi pusat keintelektualan Melayu-Islam dengan penghasilan banyak kitab, seperti Kitab al-Hakim oleh Tajud-din Abdul-Fadzil Ahmad ibn Abdul Karim ( 1836 ) dan Sabil al-Hidayat oleh Sayyed Aluwi Ba’aluwi ( 1899 ) dan hasil penulisan yang paling terkenal ialah Bustan al-Katibin ( 1857 ), Pengetahan Bahasa ( 1859 ), Salasilah Melayu dan Bugis serta Tuhfat al-Nafis ( 1865 ) oleh Raja Ali Haji yang telah berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa persatuan di seluruh Nusantara.

3.4  Bahasa Melayu Pramoden dan pengaruh bahasa Inggeris dan Belanda.
Pada tempoh masa ini yang dikatakan bermula pada pertengahan abad ke-19 hingga abad ke-20, bahasa Melayu berhadapan dengan cabaran terpaksa berasimilasi dengan bahasa Inggeris dan Belanda bagi melengkapi kekurangan dari aspek kosa kata sebagai bahasa yang jauh melangkaui aspek perdagangan semata-mata. Menurut Mohamed Suffian ( 1972:277 ) dalam Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 18-19 ), bahasa Melayu terus digunakan untuk tujuan rasmi di kelima-lima buah Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Bersekutu khususnya bagi jabatan pejabat polis sebelum Perang Dunia ke-2 yang mewajibkan pegawai-pegawai Eropah ( Inggeris ) yang bertugas di negeri-negeri Melayu dikehendaki mempelajari bahasa Melayu dan mesti lulus dalam peperiksaan sebelum disahkan dalam jawatan sehingga ada yang terkenal sebagai sarjana bahasa Melayu seperti, R.O. Winstedt, J.R. Wilkinson, C.C. Brown, W.E.Maxwell, W.Marsden, W.G.Shellabear dan J.Crawfurd menjadikan kegiatan penulisan bahasa Melayu mula bersifat kemasyarakatan dan kerakyatan yang telah membawa kepada penerbitan majalah dan akbar Melayu, misalnya Soerat Kabar Bahasa Bintang Timor di Padang Sumatera Barat ( 1865 ), Jawi Peranakan di Singapura ( 1876 ), dan Melayu Bustan Arifin ( 1821 ) di Melaka menurut Ahmat Adam ( 1992: 2 ) dalam http://www.scribd.com/doc/28293004/Ciri2-Bahasa-Melayu-Moden ( 21/08/2010: 07.46 pm ).
Serapan pengaruh bahasa Inggeris dan Belanda dalam bahasa Melayu ini telah menambah istilah-istilah baru dalam pentadbiran moden seperti yang diamalkan di Johor pada zaman pemerintahan keluarga Temenggung Johor, misalnya majestret, lawyer, kompeni, gabenor, kemeja, office-boy, beranda  dan sebagainya yang secara tidak langsung mendapat pengiktirafan sebagai bahasa komunikasi antarabangsa berikutan perkembangan penghasilan perkamusan, misalnya Kamus Jawi-Melayu-Inggeris ( 1903 ) oleh R.J Wilkinson, Melayu-Belanda dan Belanda-Melayu ( 1918 ) oleh Van Ronkel, Buku Katan ( Kamus Melayu ) oleh Muhamad  Said Sulaiman pada tahun 1936 dan kamus Melayu oleh Haji Syamsudin Muhamad Yunus pada tahun 1948, menurut A.M Iskandar Hj Ahmad ( 1980:3 ) dalam http://www.scribd.com/doc/28293004/Ciri2-Bahasa-Melayu-Moden ( 21/08/2010: 07.46 pm )
Walau bagaimanpun, keadaan ini tidak berterusan selepas Perang Dunia Ke-2 apabila bahasa Melayu mula menghadapi suatu keadaan terancam dengan pengenalan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem persekolahan yang menjadi asas untuk mendapat pangkat dan  kedudukan yang secara tidak langsung menjadikan bahasa Melayu hanyalah suatu bahasa  pengantar di peringkat persekolahan yang paling rendah dan perhubungan golongan bawahan akibat pengangkatan bahasa Inggeris di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sebagai bahasa rasmi, bahasa pentadbiran dan bahasa pengantar pada sebahagian besar sistem pendidikan dan diberikan kedudukan yang tinggi.
Akibat tekanan  ini, adalah dirasakan perlu bagi memperjuangkan bahasa Melayu  dengan melakukan anjakan paradigma sebagai alat perjuangan politik bagi membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan yang akhirnya tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 19 ).

3.5  Bahasa Melayu Moden

Pengangkatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan Bahasa Melayu menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting melihat kepada hal yang sama berlaku di Indonesia pada tahun 1928 dengan pengangkatan bahasa Melayu sebagai bahasa persatuan bagi negara dan bangsa Indonesia yang dikenali sebagai Bahasa Indonesia pada 1945, bahasa rasmi Brunei Darulsalam  pada 1959 dan Singapura pada 1965 menurut Amat Jauhari Moain ( 1994 ) dalam http://www.scribd.com/doc/28293004/Ciri2-Bahasa-Melayu-Moden ( 21/08/2010: 07.46 pm ) yang kemudiannya telah melahirkan kerjasama pada tahun 1972 melalui pembentukan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia ( MABIM ) yang kemudiannya berkembang menjadi Majlis Bahasa Brunei Darulsalam-Indonesia-Malaysia ( MABBIM ) pada tahun 1985 menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 36 ) .

3.6  Bahasa Melayu dan Perancangannya
Apabila membincangkan aspek anjakan paradigma dalam bahasa Melayu, maka kita tidak dapat mengetepikan untuk membincangkan aspek perancangan bahasa Melayu itu sendiri bagi menilai apakah bentuk anjakan paradigma yang telah dilaksanakan untuk terus mengangkat martabat bahasa Melayu bagi membolehkan bahasa tersebut mengangkat fungsinya yang kompleks. Menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 20-21 ), perancangan bahasa merupakan usaha-usaha yang dijalankan untuk memupuk bahasa ke arah taraf yang lebih maju dalam peringkat negara melibatkan badan-badan yang ditubuhkan khas untuk matlamat ini, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 1956, setelah bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan dan didapati perlu dimajukan bagi menjalankan semua beban tugasnya dengan berkesan berdasarkan tiga peringkat utama – pengumpulan data dan penyusunan strategik, perlaksanaan ( pengekodan dan pemupukan ) dan penilaian. Menurut Fishman et.al. ( 1971 ) dalam Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 21 ), proses pengekodan meliputi usaha-usaha ke arah penyerapan variasi-variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan  tatabahasa, kamus, panduan ejaan dan sebagainya dan pemupukan pula melibatkan penumpuan perhatian pada usaha-usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan saling terjemah dengan beberapa bahasa moden yang lain melalui pemupukan istilah baharu khususnya dalam bidang profesional dan teknikal.
3.6.1                    Pengekodan bahasa Melayu – Ejaan, Perkamusan dan Tatabahasa.

3.6.1.1  Ejaan

Tradisi tulisan seperti tulisan Kawi, Batak, Lampung, dan Rencong berdasarkan  lambang suku kata dan baris bagi menunjukkan perbezaan-perbezaan bunyi  telah menjadi sistem tulisan orang Melayu sebelum kedatangan Islam yang telah membawa bersama tulisan Jawi daripada Tanah Arab walaupun tidak bertahan  lama setelah pihak Barat memperkenalkan sistem tulisan Rumi di Tanah Melayu pada zaman penjajahan  iaitu pada pertengahan abad ke-19 bagi tujuan urusan rasmi dalam kerajaan Barat di Tanah Melayu berikutan kelemahan pada sistem ejaan Jawi yang  berdasarkan huruf Arab alif-ba-ta tidak dapat menggambarkan sistem bunyi bahasa Melayu yang sebenar menyukarkan kefahaman pihak Barat yang kurang pengetahuan  bahasa Melayu berbanding dengan tulisan Rumi yang  berdasarkan huruf  Roman a-b-c. Antara sistem ejaan yang telah digunakan oleh Barat ialah Ejaan Rumi Negeri-negeri Selat (1878), Ejaan Rumi Maxweel (1882), dan Ejaan Rumi Sweettenham (1881).
Bahasa Melayu menjadi lebih penting apabila dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah  rendah, oleh yang demikian, satu sistem Rumi yang seragam diperlukan untuk menggantikan sistem ejaan Jawi yang telah membawa kepada Satu pertubuhan iaitu Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa pada tahun 1888 di Johor bagi memainkan peranan panting dalam menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan dalam kalangan masyarakat setempat.  Pembinaan sistem tulisan Rumi untuk bahasa Melayu telah melalui beberapa peringkat oleh banyak pihak, misalnya usaha William Marsden dalam bukunya A Grammar Of The Malayan Language pada tahun 1912, yang mengatakan bahawa bunyi ch, d, ng, p, g, dan ny merupakan huruf-huruf yang telah ditambah oleh orang Melayu daripada huruf bahasa Arab ( Rogayah Binti Osman, hlm 3). Selepas William Marsden, R.J Wilkinson yang merupakan nazir sekolah–sekolah bagi Jabatan Pelajaran Negeri-negeri Bersekutu telah menjadi pengerusi bagi Jawatankuasa Ejaan untuk mengkaji dan membentuk sebuah sistem ejaan Rumi yang baru, iaitu  Sistem Ejaan Wilkinson.
Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, satu sistem ejaan telah diperkenalkan iaitu “Ejaan Fajar Asia” yang selaras bagi tiga buah negara iaitu Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia yang pada masa itu berada dalam pentadbiran tentera Jepun. Majalah Fajar Asia yang diterbitkan di Singapura telah menggunakan sistem ejaan tersebut dalam penerbitan majalah mereka. Huruf yang digunakan dalam sistem ini hampir sama dengan Sistem Ejaan Wilikinson dan sistem Ejaan Rumi Za’Ba. Menurut Asmah Haji Omar (1993), sistem ejaan ini menggunakan enam huruf vokal iaitu a, e taling, e pepet, i, o dan u. Manakala bagi huruf konsonan pula adalah sama dengan Sistem Ejaan Rumi Za’Ba.
Za’Ba telah  memulakan satu lagi sistem ejaan baru yang dihasilkan daripada pengamatan berdasarkan daripada Sistem Tulisan Wilkinsin dan gabungan beberapa adjad bahasa Arab semasa bertugas di Maktab Perguruan Sultan Idris selepas Perang Dunia Ke-2 yang  dikenali sebagai Sistem Ejaan Sekolah  dan diistiharkan pada tahun 1972 tatapi banyak kelemahan yang menyebabkan penggunaannya terganggu menurut Ismail Dahaman ( 1996: 44-45 ). Menurut Rogayah Binti Osman (hlm 4) pula, usaha diteruskan melalui penyeragaman sistem ejaan bagi kerajaan Malaysia dan Indonesia sejak 1959 hasil desakan Kongres Bahasa dan Persatuan Melayu yang telah menghasilkan sistem Malindo. Asmah Haji Omar (1993: 154) mengatakan bahawa tulisan Malindo tidak pernah diterbitkan oleh kedua-dua negara menyebabkan bentuk dan sistem ejaannya tidak diketahui yang membawa kepada usaha bersama  pada tahun 1966 bagi membincangkan; Soal bahasa dan jangka masa panjang, Pertukaran antara bahan-bahan yang berkenaan dangan bahasa dan sastera dan Soal pemakaian istilah yang membawa kepada pembentukan Ejaan Bersama Malaysia-Indonesia juga dikenali sebagai Ejaan Baharu dan ditandatangani oleh Menteri Pelajaran masing-masing pada masa itu iaitu Y.B Encik Hussien Onn dan Bapak Mashuri dan di isytiharkan secara serentak penggunaannya pada 16 Ogos 1972 yang memperlihatkan prinsip linguistik, ekonomi, kesederhanaan, kejelasan, dan fleksibiliti dan taraf  standard yang tinggi jka dibandingkan dengan sistem yang lama serta memiliki panduannya, misalnya Pedoman Umum Bahasa Malaysia pada tahun 1975 yang diterbitkan  Dewan Bahasa Dan Pustaka dalam usaha pembakuan sebutan di Malaysia.
3.6.1.2  Perkamusan
Pengekodan perkamusan adalah sangat penting bagi bahasa yang sedang berkembang menambah jumlah perbendaharaan kata yang bersifat biasa mahupun khusus dan teknikal sebagai rujukann umum penggunaan perkataan-perkataan baharu bagi memudahkan kefahaman yang jelas dengan penggunaan yang tepat dengan maksudnya menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 23 ) yang disifatkan sebagai suatu anjakan paradigma bahasa Melayu dalam usaha mengangkat fungsinya berdasarkan usaha yang berterusan dalam aspek ini.
Perkamusan di Malaysia didapati berbentuk dwibahasa pada awalnya hasil pembuktian daftar kata dwibahasa Sanskrit-Melayu Kuno pada abad ke-7 dan Latin-Inggeriss pada abad ke-8 dan menurut Ibrahim Ahmad ( 1994:4 ), perkamusan bahasa Melayu digerakkan oleh para sarjana barat yang bermula sebelum 1630 dengan kata-kata dan istilah tertentu sebelum Portugis menakluki Melaka pada 1511 bagi mengangkat fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan, bahasa pentadbiran dan penyebaran agama, misalnya Melayu-Latin oleh Figafetta pada 1521, Melayu-Belanda oleh Frederik de Houtman pada 1603 dan Melayu-Belanda dan Belanda-Melayu pada 1622 oleh Caspar Wiltens. Perkembangan ini berlangsung lagi pada 1631 hingga 1850 sebagai tahap kedua yang masih digerakkan oleh para sarjana barat, misalnya David Haex pada 1631 ( Dictionarian Malaico et Latinum Malaicum ), Thomas Bowery pada 1701  ( Malayo and English and English and Malayo ) bagi tujuan rujukan perdaganagn dan pentadbiran dengan memasukkan istilah politik Johor, William Marsden pada 1812 ( A Dictionary of the Malayan Language ) yang diusahakan secara saintifik sebagai suatu ilmu pengetahuan daripada sekadar memenuhi keperluan sahaja dengan mentransliterasi huruf Jawi kepada Rumi yang membawa kepada permulaan sistem ejaan Rumi,John Crawford pada 1852 ( The Grammar and Dictionary of the Malay Language ) dan R.J.Wilkinson pada 1901 ( Malay-English Dictionary ) yang dianggap sebagai suatu percubaan ilmu perkamusan yang menjadi petunjuk kepada penyusun terkemudian, iaitu kelahiran ahli perkamusan Melayu sendiri selepas 1930,  seperti Shamsuddin Mohd Yunus ( 1935 ), Mustapha Abdul Rahman Mahmud ( 1940 ), Haji Abdul Hamid Ahmad ( 1941 ), Mohammad Hanif ( 1955 ), Mohd.Shah Munji dan Abdulah Samad ( 1957 ), Farid Wajidi ( 1959 ), Ali Asraf ( 1959 ) dan Zainal Abidin Safarwan ( 1966 ).
Perkamusan Melayu dikatakan mencapai tahap moden dan lengkap selepas 1956 dengan tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka yang menghasilkan Kamus Dewan ( 1970 ) yang mengandungi 28 000 kata yang kemudiannya bertambah menjadi 34 000 dalam edisi ke-2 dan 36 000 dalam edisi ke-3 pada 1995 yang bersifat dwibahasa, iaitu Melayu-inggeris dan Inggeris-Melayu yang diterbitkan pada 1984. Perkamusan ekabahasa pula menurut Rogayah Osman dalam kajiannya terhadap Perancangan Bahan Ejaan dan Sebutan, Peristilahaan dan Perkamusan dalam Bahasa Melayu di Malaysia turut diusahakan oleh penerbit-penerbit swasta, misalnya A.S Hornby et.al. ( 1972 ), A.K.Mohamad ( 1973 ), Mohd Salleh Daud ( 1973), Sulaiman Masri ( 1973 ), Meji Sulung ( 1974 ) dan Kader M.A ( 1974 ) yang merangkumi tiga jenis kamus, iaitu Sinonim, Antonim dan Thesaurus mengikut keperluan golongan profesional dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

3.6.1.3  Tatabahasa
Menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 23-24 ), pengekodan tatabahasa merupakan pengembangan pembentukan kata, frasa dan ayat yang merupakan sebahagian daripada penghasilan bahasa. Menurut Awang Sariyan ( 2002 :27), usaha penyusunan tatabahasa Melayu yang dilakukan oleh Pendeta Za,ba dalam karyanya Pelita Bahasa Melayu sebanyak tiga jilid telah membantu memantapkan pengekodan tatabahasa apabila buku tersebut dijadikan rujukan utama dalam sistem pendidikan di negara ini sejak 1940-an dan telah diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2000 dalam ejaan Rumi baharu sebagai buku edisi mewah disamping penerbitan Tatabahasa Dewan Jilid 1 ( 1986 ), Tatabahasa Dewan Jilid II  ( 1989 )dan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu ( 1993 ) dan mulai tahun 2001, penyusunan Tatabahasa Praktis Bahasa Melayu diterbitkan sebagai rujukan masyarakat umum disamping kerjasama dengan Universiti Multimedia untuk menerbitkan CD-rom Tatabahasa Melayu yang interaktif sifatnya disamping sejumlah buku tatabahasa yang luas digunakan oleh pelajar di pusat pengajian tinggi termasuklah Nahu Melayu Muktahir oleh Asmah Haji Omar.
Hasil daripada pengekodan ini, dapat memperjelaskan kepada kita akan proses pembentukan kata yang terbahagi kepada empat bentuk, iaitu kata tunggal ( satu hingga empat atau lebih suku kata ), kata terbitan ( berawalan, berakhiran, berapitan dan bersisipan ), kata majmuk ( bentuk yang telah mantap, penggandaan dan pengimbuhan )dan kata ganda ( penuh, separa dan berentak ) yang tergolong kepada empat, iaitu kata nama ( khas, am dan ganti nama ), kata kerja ( transitif dan tak transitif ), kata adjektif dan kata tugas. Ayat pula terbahagi kepada dua, iaitu ayat dasar dan tunggal yang akan membentuk jenis ayat penyata, tanya ( tanpa kata tanya dan dengan kata tanya ), perintah ( suruhan, larangan, silaan dan permintaan ) dan seruan menurut Nik Safiah Karim et.al ( 2004: 57-550 ).

3.6.2                    Pemupukan bahasa Melayu – Istilah baharu berdasarkan Laras Bahasa.
Pemupukan bahasa Melayu merangkumi aspek pempupukan istilah-istilah baharu dengan mengambil kira aspek kewujudan laras bahasa. Menurut Nik Safiah Karim ( 2003: 155-156 ), laras bahasa dalam Bahasa Melayu merupakan perbezaan cara yang digunakan dalam penulisan walaupun menggunakan bahasa yang sama dalam situasi yang berbeza atau lebih ringkasnya dikenali sebagai kelainan berbahasa yang dipengaruhi oleh suasana yang hanya dikenali melalui perkataan-perkataan yang digunakan berdasarkan cara pengungkapan mengikut situasi tertentu yang wujud berdasarkan perkara yang ingin diperkatakan serta kolokasi, iaitu kehadiran penggunaan perkataan dan ungkapan tertentu yang jelas meletakkannya dalam sesuatu laras.
Menurut Awang Sariyan ( 2002 ), pembinaan laras bahasa ini dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui penerbitan karya ilmu dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat yang telah menghasikan hampir 10,000 judul buku dan berdasarkan koleksi Perpustakaan Negara Malaysia ( 1966 hingga 2001 ), sejumlah 105,898 judul direkodkan sebagai buku yang berdaftar di bawah Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1964 dan Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1966 yang turut merangkumi buku dalam bahasa lain dan hanya 60,474 judul dalam Bahasa Melayu. Kewujudan perbezaan laras bahasa menurut Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 36 - 40 ), disebabkan oleh ciri-ciri keperihalan ( situasi luaran dan persekitaran – cara penyampaian, perhubungan sosial dan peribadi, bahan yang diperkatakan dan fungsi sosial perlakuan bahasa ) sesuatu peristiwa bahasa dan linguistik ( bunyi, perkataan – khusus, kolokasi dan pinjaman – dan ayat ) yang terbahagi kepada sebelas laras berdasarkan bidang ilmu, iaitu biasa, perniagaan atau iklan, sains, media, rencana, undang-undang, agama, sukan, sastera, ekonomi dan akademik.
Umumnya istilah merupakan perkataan yang mempunyai makna khas mengikut bidang ilmu pengetahan tertentu yang menerangkan  makna, konsep proses, keadaan atau sifat khusus bagi sesuatu ilmu menurut Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad ( 2009: 2 ).  Menurut Awang Sariyan ( 2002 ) pula, pembinaan istilah Bahasa Melayu merupakan suatu  usaha dalam menggubal istilah bagi mengisi peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, rasmi dan ilmu di negara ini yang telah bermula sejak 1957 yang melibatkan dua bidang terawal iaitu Istilah Kerajaan dan Istilah Ilmu Sains dan teknik yang sehingga kini mencatatkan jumlah hampir mencecah 1 juta istilah yang terhasil meliputi ratusan bidang ilmu dan profesional yang telah dibukukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebanyak 199 judul melibatkan semua peringkat. Kenyataan ini turut disokong oleh Abdullah Hassan  ( 1987: 85 ), iaitu perancangan korpus bahasa dalam aspek istilah telah bermula sejak 1957 melalui penubuhan Jawatankuasa Istilah yang pertama berdasarkan dua peringkat iaitu sebelum 1975 ( dengan penerbitan Pedoman Pembentukan istilah bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ) dan selepas 1975 ( kerjasama Majlis bahasa Indonesia-Malaysia ( MBIM ) yang menghasilkan Pedoman Umum Pembentukan istilah ( PUPI ) yang telah diisytiharkan penggunaannya oleh Menteri Pendidikan Malaysia dan Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Repblik Indonesia pada 30 Ogos 1975).
Walaupun begitu, beliau tidak menafikan akan ketidaksempurnaan yang berlaku semasa pembinaan awal istilah dalam bahasa Melayu iaitu melibatkan tempoh masa antara tahun 1957 hingga 1960 yang merupakan  titik zaman awal pembentukan istilah namun tidak kukuh kerana tiada sebarang pedoman yang boleh dijadikan rujukan sehinggalah Dewan Bahasa dan Pustaka menubuhkan dua Jawatankuasa Istilah bagi menyokong pembinaan istilah  iaitu, Jawatankuasa Istilah Kerajaan dan Perjawatan dan Jawatankuasa Istilah Sains Am yang secara tidak langsung mengubah  panduan dan falsafah pembinaan istilah tahap awal yang mengongkong proses pembinaan istilah, walapun terdapat juga istilah yang bertahan sehingga sekarang misalnya stesen, kimia dan sains. Manakala istilah yang tidak dapat mendukng konsep asal telah dipinda seperti ilmu jiwa, kajirumpun bangsa, ilmu hisab dan kajibentuk bumi kepada psikologi, ethnologi, matematik dan geomorfologi.
Zaman selepas 1975 pula memperlihatkan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam pembentukan istilah yang melibatkan bidang-bidang profesional sebanyak 71,887 istilah sehingga 1975 berikutan kejayaan membentuk Pedoman Membentuk Istilah-istilah Baru DBP ( mula digunakan sejak 1959 ), Dasar, Cara dan Pedoman Membentuk istilah Baharu Bahasa Melayu DBP ( selepas 1970 ) dan Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya ( 1971 ) serta dengan tertubuhnya Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu ( JKTBM ) sejak Disember 1972 yang pada awalnya hanyalah mewakili Malaysia dalam usaha kerjasama dengan Indonesia bagi menyusun Sistem Ejaan Rumi Baru tetapi kemudiannya telah diperluaskan lagi fungsinya yang mencakupi aspek peristilahan dan dianggap oleh kerajaan sebagai badan tertinggi dalam pembentukan istilah Bahasa Melayu yang menjadi dasar pembentukan istilah oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
( Rajah 12: Dipetik daripada Langkah Pembentukan istilah dalam Perancangan Bahan Ejaan dan Sebutan, Peristilahan dan Perkamusan dalam Bahasa Melayu di Malaysia : 7 )
Walaupun begitu, pembinaan istilah dalam Bahasa Melayu tidak menafikan akan wujudnya pinjaman daripada bahasa asing melalui dua cara penggubalan, iaitu pinjaman dan pinjam terjemah menurut Ainon Mohd dan Abdullah Hassan ( 2000: 255 ). Hal ini turut disokong oleh Nik Safiah Karim et.al. ( 2004: 301-304 ), iaitu pembinaan istilah pinjaman yang dilakukan dalam dua bentuk, iaitu pengambilan dengan penyesuaian ejaan, misalnya geography-geografi, biology-biologi, mathematics-matematik, isogamy-isogami dan sebagainya. Manakala,  pengambilan tanpa perubahan ejaan pula, seperti magnet-magnet, linear-linear, hilum-hilum, import-import, audit-audit dan sebagainya. Manakala pembinaan istilah pinjam terjemah pula dilakukan melalui lima cara, iaitu terjemah langsung ( resistance = rintangan, dose = sukatan, soluble = lart ), penciptaan kata baharu ( subsidence = antamman, allot = umpuk, arrears = tunggakan ), perluasan makna ( salur = salir, hakis = kikis, gelap = legap ), penggabungan dua kata umum ( missile = peluru berpandu, indicator lamp = lampu penunjuk, right angle = sudut tepat ) dan pembentukan kata ganda separa ( radius = jejari, liquid = cecair, capillary = rerambut ), tetapi kesemua proses ini terikat kepada  had  peminjaman, iaitu pinjaman istilah dilakukan sekiranya bahasa asing mempunyai istilah tersebut dan haruslah sesuai dengan sistem bunyi Bahasa Melayu menurut Ainon Mohd dan Abdullah Hassan ( 2000: 265 ).
Menurut Rogayah Osman dalam artikelnya mengenai Perancangan Bahan Ejaan dan Sebutan, Peristilahan dan Perkamusan dalam Bahasa Melayu di Malaysia, kewujudan banyak Jawatankuasa Istilah ( JKI ) yang mencakupi banyak bidang dengan konsep dan pemahaman ilmu yang tersendiri menghasilkan bermacam-macam istilah sehingga satu istilah mendukung pelbagai konsep dan pengertian, menyedari permasalahan ini dua jawatankuasa penyelarasan dibentuk iaitu, Jawatankuasa Istilah Sains Tulen dan Jawatankuasa Istilah Sains Sosial dan Kemanusiaan. Disamping itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah melakukan kembali kerja-kerja dalam menyemak istilah sebelum 1975 terutamanya sebelum 1960 untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Penyemak Istilah  sebagai tambahan kerja-kerja dalam penciptaan istilah, pengklasifikasian bidang yang sebelumnya tidak begitu tepat dan kurang menyeluruh agar dapat membincangkan aspek-aspek pemasyarakatan istilah dalam disiplin bidang masing-masing agar dapat diutarakan kepada sidang MBIM sekitar akhir 80-an dan awal 90-an.
Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia ( MBIM ) menurut Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain ( 2006: 36 ), sangat berperanan dalam pembentukan istilah Bahasa Melayu yang mendokong tiga fungsi utama, iaitu bertindak sebagai badan bersama  yang mengadakan pertemuan demi pertemuan untuk memikirkan, menalaah dan membincangkan hal-hal bersama berhubungan dengan soalan bahasa kedua-dua negara, menampung dan menyalurkan bahan-bahan tentang bahasa dari kedua-dua belah pihak untuk kegunaan dan kajian bersama serta menyerahkan bahan-bahan bahasa yang menyentuh kepentingan kebangsaan negara masing-masing kepada Menteri Pendidikan untuk dipertimbangkan dan diputuskan. Atas ketelusan dalam memainkan perana ini, MBIM berjaya menghasilkan Pedoman Umum Pembentukan Istilah ( PUPI ), Pedoman Penyusnan Kamus Istilah dan Pedoman Tranliterasi Huruf Arab kepada Huruf Rumi disamping membincangkan pedoman khusus pembentukan istilah kimia, biologi, fizik, matematik dan perubatan. Malah sepanjang hasil persidangan MBIM ke-7 hingga ke-23 MBIM turut berjaya menghasilkan Daftar Istilah MBIM ( A-J ) dan ( K-Z ) yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1976.

3.7  Masa depan Bahasa Melayu

Pengangkatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, menunjukkan kedudukan bahasa yang merupakan suatu unsur penting yang dapat membentuk identiti sesebuah negara, maka apabila ada orang yang bercita-cita untuk mengagungkan dan mengutamakan bahasa Inggeris dalam ranah kehidupan penting di negara ini, salah satu senjata yang digunakan ialah membesar-besarkan kekurangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu miskin ilmu, bahasa Melayu bahasa setempat dan bukan bahasa antarabangsa, bahasa Melayu bahasa estetik dan bukan bahasa dinamik, bahasa Melayu kekurangan istilah, dan bahasa Melayu kekurangan itu dan ini. Orang yang membesar-besarkan kekurangan bahasa Melayu sama ada tidak sedar atau tidak pernah berusaha mengambil tahu akan perkembangan bahasa Melayu sejak dirancang secara rasmi menjelang dan sesudah kemerdekaan negara ini. Jika sekalipun benar ada kekurangannya, bukankah tanggungjawab semua orang yang mengaku menerima bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, lebih-lebih lagi golongan pemimpin dan cendekiawan, memajukan bahasa itu? Adakah bahasa Melayu akan maju dengan sendirinya tanpa usaha, iltizam dan kesungguhan kita sendiri? Adakah bahasa-bahasa maju yang lain, hatta bahasa Inggeris yang asalnya bahasa masyarakat petani itu maju dengan sendirinya tanpa usaha cendekiawannya?
Anjakan paradigma seharusnya turut mengangkat bersama cara pemikiran masyarakat agar dapat menyedari sebanyak manapun kekurangan  dalam bahasa Melayu itu sendiri tetapi sangat berperanan dalam menggerakkan pembangunan negara sebagai alat atau elemen yang merangkumi aspek ekonomi, politik dan sosial negara menurut Abdullah Hassan ( 2009 ) dalam kajian Bahasa dan Pembinaan Tamadun berdasarkan sejarah perjuangan Gottfried Wilhelm Leibniz pada tahun 1646 hingga 1716 dalam memajukan negara Jerman melalui pengangkatan bahasa Jerman itu sendiri. Leibniz merupakan seorang sarjana matematik dan falsafah Jerman yang cuba mencari mengapa bangsa Jerman masih lagi mundur walaupun ekonominya berkembang dan negara Jerman kaya dengan pelbagai sumber ? Permasalahan tersebut dikaji dan Leibniz menyedari bahawa bahasa Perancis dan Latin yang digunakan menjadi tembok pemisah antara dua golongan rakyat Jerman, iaitu golongan atasan dan intelektual yang menggunakan bahasa Perancis dan Latin sebagai bahasa ilmu pengetahuan dalam segala bidang penulisan menyebabkan rakyat biasa yang hanya memahami bahasa Jerman tidak memahaminya yang secara tidak langsung mewujudkan tembok bahasa antara ilmu dan rakyat .
Hal ini memperjelaskan apabila bahasa sendiri diketepikan dan bahasa asing didewakan, rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada diri sendiri dan pemikirannya pun terjejas dan bangsa yang tidak percaya kepada diri sendiri tidak akan maju. Leibniz mengatakan bangsa Jerman hilang kepercayaan kepada bahasa Jerman. Mereka sibuk mengatakan hanya bahasa Perancis itulah yang mengandungi ilmu, bahasa antarabangsa, bahasa yang boleh membawa kemajuan sehingga mengabaikan bahasanya sendiri. Dalam pada itupun, Leibniz melihat bahawa orang Perancis sendiri tidak menerima mereka sebagai nukleus kepada masyarakat  Perancis itu. Perjuangannya disokong oleh orang-orang Jerman yang percaya kepada perjuangannya dan sekitar 1750-an terbitlah sebuah tatabahasa Jerman ditulis oleh Johan Christoph Gottsched, dengan judul Dasar-Dasar Tatabahasa Bahasa Jerman yang mendapat Sambutan rakyat dan golongan intelektual yang secara tidak langsung  membuktikan kepada semua bahawa bahasa Jerman adalah bahasa yang teratur yang sama mampu dengan bahasa-bahasa mana pun di Eropah. Bermula dari tarikh itu bahasa Jerman terus membangun dan digunakan dalam bidang-bidang yang diusulkan oleh Leibniz dan membawa kepada  permulaan kebangkitan Jerman sebagai salah satu negara maju di dunia dengan mangangkat bahasa Jerman sebagai bahasa pendidikan, pentadbiran dan perhubungan dalam semua bidang termasuk perniagaan.
Menurut Abdullah Sani ( 2007 ), kebanyakan negara yang tidak mengunakan bahasa Ibunda sebagai bahasa utama menghadapi masalah dalam memajukan negara mereka, India misalnya, mengunakan bahasa inggeris sebagai bahasa utama selama 300 tahun dan Filipina selama 60 tahun dalam pentadbiran dan pendidikannya didapati tidak membantu dalam memajukan negara mereka.
Hal ini jika diteliti sebenarnya sama dengan situasi di Malaysia berikutan penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan yang menjadikan pelajar menjadi mangsa dengan sistem pendidikan di Malaysia berikutan pengenalan PPSMI atau nama penuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai salah satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan semata-mata bagi mengelakkan sindrom tidak tahu berbahasa inggeris menjadi semakin buruk dalam kalangan pelajar luar bandar khasnya menurut Tajul Ariffin Noordin, Roslee Ahmad, Rahimawati Abdul Rahim ( 2007 ) tanpa sedar menjadikan mereka lebih ketinggalan untuk megikuti pelajaran metematik dan sains dan menurut Mohd khairuddin Abdullah dan Halimah Khairunnisa Laji ( 2009: 143-145), menggoyahkan lagi keddudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara yang secara tidak langsung akan menghentikan proses menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan moden setanding bahasa-bahasa lain di dunia yang mengangkat pembangunan negara bangsa sendiri melainkan terus terperosok sebagai bahasa pasar walapun penciptaan istilahnya mencecah hampir satu juta untuk ratusan bidang yang melibatkan ratusan pakar bidang ilmu, maka dasar kerajaan seharusnya lebih mencontohi negara-negara barat dalam usaha memartabatkan bahasa mereka.
4.0  Penutup
4.1               Kesimpulan
Perkembangan dan penguasaan dalam era teknologi maklumat bukanlah alasan yang kukuh untuk keperluan bahasa Inggeris dalam pengajaran subjek teknikal seperti sains, matematik, fizik, kimia, biologi dan sebagainya yang akhirnya meminggirkan dan menafikan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara sendiri. Hal ini kerana jika kita tidak berhati-hati bahasa Melayu boleh mengalami kepupusan yang difikirkan akan berlaku dengan pantas yang hanya satu atau dua generasi sahaja sekiranya hanya segelintir daripada 25 juta orang penutur berikutan hanya berperanan kira-kira 20 peratus sebagai bahasa penghantar bagi mata pelajaran yang bukan tergolong dalam sains dan teknologi.
4.2               Cadangan
Anjakan paradigma yang dilakukan memperlihatkan keupayaan bahasa Melayu sebagai wahanan tamadun moden bagi bangsa dan negara, khususnya dalam konteks pencapaian kemajuan berasaskan acuan sendiri selaras dengan Wawasan 2020, bukanlah semua perubahan itu sudah cukup memuaskan dan bukan pula tiada kekurangan dan masalahnya, namun segala kekurangan adalah menjadi tugas kita untuk mengatasinya dan bukanlah menjadi alasan untuk mengurangkannya lagi, misalnya, kelemahan dalam pengekodan ejaan kerana pola-pola intonasi tersebut  tidak dideskripsikan sepenuhnya dalam sebuah kamus yang lengkap sebagai rujukan telah pun diatasi dengan tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1956 bagi menerbitkan kamus yang lebih berkesan Tindakan meminggirkan peranan bahasa Melayu dalam proses pembinaan negara yang berasaskan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar pendidikan kebangsaan  yang disifatkan sekalipun  tidak  berkesan bukanlah alasan untuk meminggirkan bahasa melayu dan menggantikannya dengan bahasa asing.


Bibliografi
Abdullah Hassan, 1987,  Isu-isu Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain, 2006, Sejarah Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.bhd.
Abdullah Sani. (2009). Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa. Diperoleh pada 8 Ogos 2010.  www.kongresbahasa.org
Ainon Mohd dan Abdullah Hassan, 2000, Teori dan Teknik Terjemahan, Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Aizzat Mohd. Nasurdin, Intan Osman dan Zainal Ariffin Ahmad, 2006, Pengantar Pengurusan, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.
Awang Sariyan, 2002, Ceritera tentang Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia, Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Brian Fidler, 2009, Merancang Kemajuan Sekolah, Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Negara Malaysia.
CIA World Factbook (2007), www.wikipedia.com.my
Hashim Awang AR et.al., 1998, Pengajian Sastera dan Sosiobudaya Melayu Memasuki Alaf Baru, Kuala Lmpur: Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Ismail Dahaman, 1996, Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Hussein, 1966, Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
James T.Collins, 2005, Bahasa Melayu,Bahasa Dunia:Sejarah Singkat, Jakarta: Yayasan Obor Indonesia.
Mohd khairuddin Abdullah dan Halimah Khairunnisa Laji, 2009, Sosiologi Pendidikan, Kota Kinabalu: Sekolah pendidikan dan Pembangunan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah.
Nik Safiah Karim, 2003, Bimbingan Pelajar: Bahasa Kita, Selangor Darul Ehsan: ‘K’ Publishing Sdn.Bhd.
Nik Safiah Karim et.al. , 2004, Tatabahasa Dewan, kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan pustaka.
Tajul Ariffin Noordin, Roslee Ahmad, & Rahimawati Abdul Rahim, 2007, Membina Pelajar  Cemerlang, Johor: Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh pada 7 Ogos 2010, www.googlebooks. Com.
Uka Tjandrasasmita, 2008, Jurnal Lektur Keagamaan Vol.6 No.1: 1-23: Penggunaan Tulisan Jawi di Indonesia Setelah Kedatangan Islam, Jakarta Indonesia: Puslitbang Lektur Keagamaan Badan Litbang dan Diklat Departement Agama RI.
Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad, 2009, Perkembangan Pembentukan Istilah Bahasa Melayu di Malaysia, Indonesia: Kimli Malang.
Yahya Don, 2005, Kepimpinan Pendidikan di Malaysia, Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.

No comments:

Post a Comment