Monday, October 25, 2010

GURU BERKESAN DI SEKOLAH



Guru Berkesan di Sekolah
1.0        Pengenalan
Penulisan ini bertujuan untuk membicarakan akan hal guru berkesan di sekolah dari konsep asas sehingga lah kepada perlakuan mengajar seorang guru berkesan dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di sekolah. Hal ini adalah perlu bagi memperjelaskan akan tanggapan umum guru terhadap peranan mereka yang hanya berbentuk instrumental, iaitu menyalurkan pengetahuan dan kemahiran bagi menyediakan pelajar terhadap satu-satu pekerjaan semata-mata lantas menyimpulkan guru berkesan adalah guru yang mempu memberikan tiket perkerjaan terhadap pelajarnya tanpa menyedari sifat berkesan lebih fokus kepada profesionaliti guru tersebut yang akan menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berdasarkan perubahan tingkah laku dan pencapaian pelajar.
2.0        Definisi Guru Berkesan di Sekolah
Guru menurut Mok Soon Sang ( 2008 : 465 ) merupakan seorang ahli ikhtisas dalam bidang perguruan yang menjalankan tugas mendidik di sekolah sebagai pengajar, pembimbing, pemudahcara, inovator dan pengurus yang secara tidak langsung mempuanyi peranan dalam aspek ekonomi dan masyarakat. Sekolah pula menurut T.Marimuthu ( 1990 :83 ), merupakan sebuah institusi formal yang diwujudkan oleh masyarakat yang bertujuan menyerapkan fungsi-fungsi sosialisasi dan budaya yang merangkumi fungsi sebagai persediaan untuk pekerjaan, perkhidmatan untuk ekonomi, agensi penapisan dan pemilihan, arah mobiliti sosial, kawalan dan persetujuan sosial, sosialisasi politik, pendidikan untuk perubahan, agen perubahan sosial, pengaliran pengetahuan dan kemahiran serta fungsi mengawas untuk menukar atau membawa perubahan tingkah laku dalam kalangan pelajar.
Menurut Sufean Hussin ( 2005 :293 ), guru berkesan di sekolah digambarkan mempunyai pengetahuan akademik yang tinggi dan mendalam tentang pedagogi am dan khususnya dalam menterjemahkan kandungan mata pelajaran, memiliki kesedaran belajar merupakan proses sepanjang hayat, berkeupayaan menghasilkan sasaran pembelajaran yang diingin dan memiliki motivasi personiliti yang tinggi sebagai seorang guru. Hal ini turut disokong oleh Ishak ( 1993 ) dalam Sufean Hussin ( 2005 :293 ), bahawa motivasi merupakan penentu utama yang mengerakkan seorang guru memiliki ciri profesionaliti yang dihadkan ( amalan mengajar tertumpu kepada autonomi bilik darjah dan berdasarkan pengalaman berbanding teori ) dan dilanjutkan ( pendidikan bilik darjah dalam konteks yang lebih luas berdasarkan teori dan penilaian yang sistematik ) menurut T.Marimuthu ( 1990 :112 ) melalui kajian ke atas 591 orang guru dari 34 buah sekolah di Malaysia berhubung dengan perlaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM ) yang mendapati 35.6% merasakan minat semakin menurun terhadap kerjaya mereka, 54.8% ingin beralih kerja, 54.7% kurang yakin mengajar dan 92.3% memiliki motivasi personaliti yang semakin luntur.
 Malah menurut B.L Sinha (2001: 42), penilaian keberkesanan seorang guru tidak terletak kepada bakat mengajar, namun ianya bergantung kepada personaliti, pelan tindakan, dan juga ‘output’ kepada pengajaran di dalam bilik darjah yang turut diutarakan oleh Mok Soon Sang ( 2008 : 474 ), bahawa penilaian terhadap guru berkesan melihat kepada hasil pengajarannya berdasarkan personaliti mengajar yang positif, iaitu boleh melaksanankan tugas dan aktiviti pengajarannya dalam bilik darjah secara adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan serta berilmu pengetahuan dan terlatih dalam pelbagai bidang pendidikan menurut David G.Ryans ( 1959 ) dalam Mok Soon Sang ( 2008 :471 ).
3.0        Bagaimana Menjadi Guru Berkesan di Sekolah?
Menurut Salvin ( 1994 : 42 ), guru berkesan bukan sahaja berperanan sebagai penyalur ilmu pengetahuan, bahkan juga berfungsi sebagai pengembang dan pengukuh kemahiran para pelajarnya yang penting dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan yang ditentukan oleh ciri kualiti, kemahiran, personaliti dan pelbagai kaedah mengajar guru.
3.1        Kualiti Guru
Guru yang berkualiti boleh dimaksudkan sebagai guru yang mempunyai aspek darjah kecemerlangan dan bermutu tinggi, iaitu guru yang tahu membuat perancangan yang sistematik terutamanya awal beberapa minggu semasa sesi persekolahan bermula agar memahami isi kandungan bahan yang diajar  bagi membolehkan pelajar mengikuti arahan guru dengan jelas dalam mencapai objektif pembelajaran dan suasana pembelajaran yang sempurna dapat dihasilkan menurut Sufean Hussin ( 2005 :292 ), disamping mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, iaitu pengetahuan Imperatis ( tindakan yang perlu dilakukan bagi mencapai objektif atau sasaran ) dan profesional yang merngkumi aspek pembelajaran, kemahiran, minat, teknologi, pedagogi, undang-undang atau polisi tertentu yang secara tidak langsung merangkumi peranan dan tanggungjawab terhadap profession keguruan.
3.2        Kemahiran Guru
Menurut Mohamad Johdi Hj Salleh ( 2007 : 92 ) seseorang guru yang efektif semestinya mempunyai kemahiran yang mendalam dalam bidang atau objek yang diajar terutamanya dalam aspek menetapkan matlamat dan rancangan pengajaran, iaitu penetapan matlamat yang tinggi dalam setiap sesi pengajaran dan mengatur rancangan untuk mencapai matlamat tersebut. Dalam pada itu, guru juga perlu ada kemahiran dalam pengurusan bilik darjah, iaitu membentuk dan mengekalkan suasana kelas yang sesuai untuk sesi pembelajaran berdasarkan penguasaan strategi untuk membentuk peraturan dan arahan, mengetuai aktiviti kelas dan mengawal kelakuan pelajar. Disamping itu, pertuturan merupakan satu kemahiran komunikasi yang penting bagi guru yang melibatkan perlakuan mendengar dan bercakap kerana guru bukan hanya tertumpu sebagai tenaga pengajar dalam bidang akademik semata-mata, sebaliknya guru turut berperanan sebagai pemberi dan penyampai maklumat ilmu pengetahuan yang turut dpengaruhi oleh intonasi suara guru yang menarik dalam menggunakan perkataan, frasa, dan ayat bagi menepati maksud pelajaran yang hendak disampaikan.
Selain itu, menurut Halimah Harun ( 2006 : 86 ) guru juga harus memiliki kemahiran dalam memotivasikan pelajar kerana memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pencapaian masing-masing dalam mencapai objektif yang telah disasarkan berdasarkan pemahaman terhadap perbezaan kognitif pelajar yang melibatkan fenomena mental dalaman dan bukan sebagai perubahan tingkah laku luaran yang memerlukan rangsangan yang kompleks akibat perbezaan pelajar dari segi kecerdasan atau kecerdikan yang akan mempengaruhi tahap pembelajaran di sekolah, maka guru yang efektif harus mengetahui bahawa pelajar hanya dapat memproses beberapa maklumat sahaja dalam suatu masa tertentu dan lebih memberi fokus kepada perkara-perkara yang mereka fikirkan penting. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab guru menekankan pentingnya interaksi sosial pelajar dengan persekitaran fizikal untuk merangsang pengembangan kognitif.  
3.3        Personaliti Guru
Dalam pada itu, penampilan seseorang guru dapat mempengaruhi keberkesanan dalam pengajaran dan penerimaan pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan kerana cara penampilan, gerak badan guru, dan sahsiah guru di dalam bilik darjah dapat mencerminkan keyakinan dan kesungguhan seseorang guru yang harus menjadi model atau contoh yang baik kepada pelajar. Hal ini kerana, kajian menunjukkan bahawa seseorang pelajar adalah lebih cenderung dalam menjadikan guru sebagai sasaran idola dalam persaingan mereka, maka tingkah laku guru adalah penting dalam menghasilkan pengajaran yang berkesan.  Penampilan yang cuba diterangkan disini adalah berkaitan dengan cara guru berpakaian yang disifatkan hendaklah kemas, ringkas dan tidak memakai perhiasan yang keterlaluan serta sederhana dari segi fesyen dan warnannya juga tidak terlampau terang dan berkilat-kilat agar tidak menggangu konsentrasi pelajar.
Gerak badan yang dilakukan oleh guru pula adalah bertujuan untuk menguatkan lagi pemberian sebarang arahan kepada pelajar dan menggambarkan emosi guru yang boleh disampaikan melalui kemahiran menggunakan gerak geri, misalnya melalui penggunaan isyarat sebagai pengganti perkataan yang dituturkan sejajar dengan pertuturan yang dilafazkannya dalam membantu kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru berkesan juga seharusnya bijak mengawal tingkah laku dan mengekalkan tatatertib positif seorang guru disamping memiliki keyakinan diri yang tinggi dan matlamat yang jelas agar dapat menguasai pelajaran dengan betul dalam membentuk persekitaran yang selamat dan teratur kepada para pelajar. Selain itu, guru perlu bijak dalam membentuk suasana komuniti di dalam bilik darjah dan juga di sekolah, mampu menarik minat pelajar, memberikan pengajaran yang bermakna berdasarkan  tahap kemahiran pemikiran yang tinggi serta mengawasi tahap kemajuan pelajar agar ia menghala kepada objektif yang telah ditetapkan.
3.4        Pelbagai Kemahiran Mengajar
Proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancar, menarik dan berkesan sekiranya guru menggunakkan pelbagai keadah mengajar yang bersesuaian dengan isi pelajaran dan kemahiran yang akan dicapai oleh setiap murid seperti yang diutarakan oleh Zamri Mahamod dan Mohamed Amin Embi ( 2006 : 118 ), bahawa para guru seharusnya menyedari akan kepentingan pemilihan kaedah mengajar  yang berkesan berdasarkan keadaan dan kemampuan pelajar itu sendiri dan bukannya berdasarkan kemahuan sesoarang guru yang secara tidak langsung menjadikan pengajaran dan pembelajaran memberikan daya tarikan baru yang menarik perhatian pelajar yang turut disokong oleh Mohamad Johdi Hj Salleh  ( 2007 :92 ), bahawa guru seharusnya perlu sentiasa mengubahsuai kaedah untuk menghasilkan pengajaran yang efektif berdasarkan kajian dan penyelidikan mengenai keadah pengajaran yang bersesuaian untuk sesuatu isi pengajaran, topik atau kemahiran bagi menilai kelebihan dan kekurangan bagi mempelbagaikan lagi kaedah pengajaran disamping mencari kaedah-kaedah yang baru yang berperanan sebagai sumber kefahaman, minat dan komitmen murid. Misalnya, penyelididkan yang dilakukan oleh Zamri Mahamod dan Mohamed Amin Embi ( 2006 :120 ), mendapati bahawa guru yang menggunakan kaedah mengajar yang sesuai membantu pelajar memahami penggunaan bahasa dengan baik.
Disamping itu, menurut Mohamad Johdi Hj Salleh ( 2007 :98 ), guru yang bijak menggunakan gaya tingkah laku dan intonasi suara, bercerita, memek muka dan humor akan tetap menarik minat pembelajaran dan murid mengikuti pengajaran secara efektif tanpa kebergantungan terhadap penggunaan peralatan elektronik seperti komputer, internet, Power Point dan video. Malah menurut Maimun Aqsha Lubis et.al. ( 2007 :124 ), kaedah mengajar yang berpusatkan aktiviti murid mampu meningkatkan pencapaian pelajar hasil daripada pengalaman terus yang secara tidak langsung meningkatkan daya ingatan pelajar.
4.0        Usaha-usaha Guru Berkesan di Sekolah Menghasilkan Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan
Menurut Mok Soon Sang ( 2008:467 ), penghasilan pengajaran dan pembelajaran yang efektif adalah berkaitan dengan kejayaan seseorang guru sebagai pengajar yang bergantung kepada perlakuan mengajar yang baik dari segi perancangan, perlaksanaan dan penilaian.
4.1        Perancangan
4.1.1   Menentukan objektif pelajaran
Menurut Mok Soon Sang ( 2008: 468 ), objektif pelajaran bagi menghasilkan pengajaran yang efektif adalah objektif yang bersifat eksplisit yang ditentukan berdasarkan saranan sukatan pelajaran, pengetahuan sedia murid serta mengikut kebolehan mereka dan biasanya disediakan berdasarkan prinsip tingkah laku, iaitu perubahan tingkah laku murid yang dikesan secara eksplisit selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran selesai dijalankan. Keperluan penentuan objektif eksplisit  berdasarkan sukatan pelajaran adalah penting kerana ianya menyatakan matlamat, unit pembelajaran dan kemahiran yang digubal dan disusun mengikut sesuatu tahap yang dihurai dengan jelas dalam Buku Panduan Guru yang telah disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai dasar perangkaan matlamat kecil pengajaran menurut Omardin Asahari ( 1999: 2 ). Selain itu, guru efektif harus mengambil kira pengetahuan sedia ada murid dalam menentukan objektif eksplisit kerana berkait rapat dengan kebolehan mereka memahami isi pelajaran menurut Robert Glaser ( 1962 ) dalam Mok Soon Sang ( 2008: 226 ) sebagai tingkah laku kemasukan yang meliputi kebolehan intelek, aras motivasi, penentu sosial dan budaya serta kebolehan pembelajaran dalam kelas.
 Menurut Omardin Asahari ( 1999: 9-10 ), objektif eksplisit membawa maksud jelas, terang dan dapat digambarkan dengan nyata yang  merujuk kepada perubahan tingkah laku yang dapat dilihat dan dinilai oleh guru bagi menghasilkan pemahaman, contohnya pelajar dapat menyebut lima sebab kegagalan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Tingkah laku yang dimaksudkan adalah merujuk kepada semua aktiviti yang dilakukan oleh pelajar dan dapat dilihat serta dinilai dengan lebih mudah berdasarkan tiga unsur utama, iaitu perlakuan yang dijangkakan daripada pelajar di akhir pengajaran guru, syarat bagi pelajar dapat dilakukan seperti yang dikehendaki oleh mereka dan peringkat pencapaian minimum atas prestasi boleh diterima oleh guru. Oleh itu, guru efektif adalah guru yang mempunyai objektif pelajaran eksplisit bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran efektif tercapai yang mana tahap pencapaiannya menurut Mok Soon Sang ( 1993: 6 ), ditunjukkan berdasarkan keputusan dan kesan pengajaran mengikut perlakuan dan prestasi pelajar.
4.1.2   Memilih isi pelajaran
Menurut Mok Soon Sang ( 2008: 296-297 ), pemilihan isi pelajaran melibatkan proses pemeringkatan isi pelajaran berdasarkan prinsip-prinsip dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran efektif melalui penyusunan dalam rancangan mengajar daripada senang kepada susah, konkrit kepada abstrak, fakta kepada teori, spesifik kepada umum ( induktif – mengumpul dan mentafsir maklumat sebelum membuat kesimpulan ), umum kepada spesifik ( deduktif – penggunaan rumus, prinsip, hukum dan teori sebelum mengaplikasikannya keatas contoh yang khusus ), pengalaman kepada luar pengalaman dan dekat kepada jauh berdasarkan objektif pelajaran, pengetahuan sedia ada murid, mengandungi unsur bersepadu ( kognitif atau pengetahuan, afektif atau kerohanian dan psikomotor atau tingkah laku pergerakan ) serta menggabungjalinkan kemahiran dalam suatu pelajaran. Menurut Omardin Asahari ( 1999: 43 ), perancangan dalam pemilihan pemeringkatan isi pelajaran harus mengambil kira empat peringkat utama, iaitu perancangan sesuatu kursus atau bagi keseluruhan kurikulum, perancangan pengajaran sesuatu tajuk pelajaran, perancangan penyusunan peringkat dan perancangan penyusunan tindakan bagi mencapai objektif tingkah laku. Manakala menurut Mok Soon Sang ( 2008: 299-300 ), pengajaran dan pembelajaran yang efektif bergantung kepada penumpuan perancangan guru dalam proses pemeringkatan isi pelajaran mengikut penggal, minggu dan harian.
4.1.3   Memilih strategi, kaedah dan teknik mengajar
Pemilihan strategi, kaedah dan teknik mengajar disifatkan sangat penting dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran menurut Mok Soon Sang ( 2008: 472 ) kerana berkait rapat dengan pencapaian objektif pelajaran bagi membantu perancangan isi pelajaran secara sistematik dan menarik. Menurut Omardin Asahari ( 1999: 60 ), strategi dalam pendidikan merujuk kepada kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditentukan dan dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan guru efektif hendaklah menggunakan strategi pemusatan murid kerana penglibatan murid mempengaruhi peningkatan daya ingatan terhadap apa yang mereka pelajari ( Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986: 62 ) yang akan mempengaruhi penilaian perlakuan dan prestasi dalam mengukur keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Mok Soon Sang ( 2008: 94 ), strategi pemusatan murid adalah murid memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran dan guru haruslah bersikap sebagai seorang pemimpin yang membimbing dalam menjalankan aktiviti pembelajaran secara kumpulan atau individu dengan mengambil kira perbezaan pelajar dari segi umur, saiz badan, kematangan, pengalaman, minat, pengetahuan sedia ada dan tahap persekolahan menurut Ee Ah Meng ( 1993: 61 ) dengan menggunakan kaedah dan teknik projek, inkuiri-penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, simulasi, main peranan, sumbangsaran, berkumpulan dan pembelajaran melalui pengalaman. Menurut Mok Soon Sang ( 2008: 154 ), kaedah boleh menjadi teknik apabila kaedah dilaksanakan dengan teknik yang sesuai dan menurut Edward M.Anthony ( 1963 ) dalam Mok Soon Sang ( 2008: 154 ), teknik adalah kemahiran atau kecekapan guru yang disifatkan sebagai satu muslihat atau strategi untuk mengelolah dan melaksanakan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
4.1.4   Memilih dan menyediakan bahan-bahan pelajaran
Pada asasnya bahan-bahan pelajaran terdiri daripada bahan rujukan guru ( sukatan pelajaran, buku panduan mengajar dan buku sumber ) untuk merancang aktiviti pengajarannya, bahan pengajaran ( alat bantu mengajar - alat pendengaran, alat-alat pandangan dan alat pandang-dengar menurut Atan Long, 1982: 174 ) untuk menyampaikan konsep dengan cara lebih berkesan dan bahan pembelajaran ( buku teks dan alat-alatan yang digunakan oleh murid untuk menjalankan aktiviti pembelajaran ) untuk mempelajari konsep dan kemahiran dengan cara lebih seronok dan bermakna menurut Mok Soon Sang ( 2008: 308 ). Bagimana pun , menurut Henley dan Ullmer ( 1978 ) dalam Omardin Ashaari ( 1999: 140 ), pengajaran dan pembelajaran yang efektif bergantung kepada kebolehan dan kecekapan guru dalam pemilihan bahan pengajaran ( alat bantu mengajar ) alat pandang-dengar yang dapat memenuhi keperluan dua saluran deria utama manusia, penglihatan ( 75 % ) dan pendengaran ( 13 % ) untuk memperolehi maklumat berdasarkan kajian pakar-pakar pendidikan menurut Mok Soon Sang ( 2008: 309 ).
Bahan pengajaran alat pandang-dengar atau dikenali juga sebagai audio-visual yang  terdiri daripada filem, televisyen dan video yang berkaitan dengan strategi pemusatan murid menurut Mazhan Arshad ( 2008: 24 ) dapat membantu pelajar mempertingkatkan daya ingatan, pemikiran dan tanggapan. Hal ini kerana, Norasiah Abdullah et.al ( 2009: 108 ), kepentingan audio tidak boleh diperkecilkan kerana secara purata murid sekolah ( rendah dan menengah ) menghabiskan 50 % dan pelajar kolej atau universiti menggunakan 90 % daripada masanya di sekolah untuk mendengar. Malah menurut Azman Laut ( 2005: 36 ) lagi, visual merupakan alat komunikasi yang dapat menyediakan rujukan konkrit yang lebih baik daripada lisan dan tulisan yang terdiri daripada fotografik, elektronik dan grafik. Fotografik dan elektronik menyediakan ilustrasi melalui gambar, sejenis visual yang mewakili realiti dalam keadaan yang paling realistik, iaitu menyerupai sesuatu subjek atau situasi yang sebenar. Bahan grafik pula menyediakan ilustrasi secara artistik atau simbolik yang mengabungkan tulisan dan lukisan dengan jelas dan konkrit ( Norasiah Abdullah et.al, 2009: 80 ) dan ia terdiri daripada dua kategori visual iaitu, Visual analogik ( simbol mewakili konsep ) dan organisasi ( carta aliran graf, peta, carta kategori dan sebagainya ).
Bagaimana pun, pemilihan bahan pelajaran alat pandang dengar yang efektif haruslah sesuai untuk aktiviti pengajaran-pembelajaran mengikut peringkat, dapat diterima oleh pancaindera murid dan dapat digunakan oleh murid sebagai bahan pembelajaran menurut Mok Soon Sang ( 2008: 313 ).
4.1.5   Menyediakan dan menguruskan kemudahan-kemudahan
Menyediakan dan mengurus kemudahan-kemudahan dalam bilik darjah menyentuh akan peranan guru sebagai pengurus yang harus mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan menurut Mok Soon Sang ( 2008: 467 ). Hal ini kerana, menurut Omardin Ashaari ( 1999: 120 ), keadaan fizikal bilik darjah yang bersih, cahaya yang mencukupi, udara yang bersih dan nyaman, kerusi-meja yang teratur dan ruang pergerakan pelajar yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti pembelajaran dapat meningkatkan tumpuan perhatian dan penglibatan diri secara aktif dalam pembelajaran.

4.2        Perlaksanaan
4.2.1   Memotivasikan murid-murid
Menurut Shahril @ Charil bin Hj Marzuki ( 2004: 29 ) melalui kajiannya di beberapa Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan dan Selangor dalam Jurnal Pendidikan Amalan Pengajaran yang Berkesan, perlakuan guru sebagai pengajar yang berkesan secara tidak langsung dapat menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berikutan keupayaannya dapat memotivasikan pelajar agar berminat belajar yang akhirnya mencapai objektif pelajaran. Hal ini kerana, menurut Schaffner dan Schiefele ( 2007: 96 ), motivasi adalah suatu keadaan yang menggerakkan pelajar bagi memulakan sesuatu dan diikuti dengan keupayaan bagi mengekalkan penglibatan itu sama ada bersifat dalaman ( instrinsik ) mahupun luaran ( estrinsik ) melalui pendekatan teori motivasi behaviourisme ( luaran ) dan kognitif ( dalaman ).
Pemberian motivasi berdasarkan pendekatan teori motivasi behaviourisme ( luaran ) menurut Ormrod ( 2003: 78 ), melibatkan pemberian peneguhan, ganjaran dan insentif sebagai suatu rangsangan untuk membentuk perubahan tingkah laku yang menumpuhkan perhubungan rangsangan – gerak balas ( S – R ) yang boleh dikekalkan berdasarkan tiga hukum Thorndike ( kesediaan, latihan dan kesan ) melalui pemberian latihan yang berulang kali menurut Mok Soon Sang ( 2008: 176 ) dan teori peneguhan skinner ( penghargaan dan hukuman mengikut jadual  ) menurut Nursalam ( 2007: 27 ). Amalan pemberian motivasi berdasarkan teori pembelajaran kognitif menurut Mohd Jamil Yaacob ( 2005: 61 ), melihat kepada keupayaan guru mencetuskan naluri ingin tahu dan kesedaran keperluan pencapaian matlamat dalam kalangan pelajar berdasarkan teori pengajaran Bruner ( naluri ingin tahu berkaitan akal kesedaran – sedar, prasedar dan bawah sedar – penentu semulajadi perubahan tingkah laku mengikut perkembangan kognitif – enaktif, ikonik dan simbolik menurut Mohd Yusuf Abdullah, 2008: 36 ), teori keperluan pencapaian Mcclelland ( keperluan pencapaian kejayaaan yang berbeza ) dan teori motivasi pencapaian Atkinson ( jaya-gagal ). Oleh itu, adalah penting menyusun isi pelajaran secara sistematik mengikut peringkat berdasarkan tahap perkembangan kognitif pelajar bagi menggalakkan penglibatan secara aktif dalam kalangan mereka agar objektif pelajaran tercapai.

4.2.2   Menyampaikan isi pelajaran
Perlaksanaan penyampaian isi pelajaran yang efektif disusun mengikut langkah-langkah dan masa yang ditentukan. Menurut Mok Soon Sang ( 2008: 298 ), pada asasnya, waktu pelajaran yang menggunakan masa 30 minit harus menitikkan komponen penyampaian isi pelajaran utama, iaitu set induksi, perkembangan ( penyampaian konsep, penguasaan kemahiran dan aplikasi ) dan penutup. Set induksi merupakan bahagian permulaan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran selama lima minit untuk membina aliran fikiran serta menimbulkan minat pelajar agar dapat memusatkan tumpuan terhadap isi pelajaran yang hendak disampaikan dan menurut Mazhan Arshad ( 2008: 24 ), penggunaan alat bantu mengajar dapat melahirkan tanggapan ( proses mental di mana otak manusia menerima maklumat daripada rangsangan yang dikesan oleh organ deria, dan berdasarkan pengalaman yang lampau, mentafsir dan seterusnya membentuk konsep rangsangan untuk membentuk tanggapan ) dan pengamatan  ( bentuk gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran ) yang pantas dalam kalangan pelajar sebagai cara penyampaian set induksi.
Penyampaian isi pelajaran dalam peringkat perkembangan merupakan bahagian yang penting kerana merangkumi penyampaian konsep, penguasaan kemahiran dan aplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran, maka adalah kemestian seorang guru efektif untuk tidak mengabaikan pemeringkatan atau urutan isi pelajaran mengikut langkah yang bergantung kepada panjang atau pendeknya isi pelajaran berdasarkan masa yang telah ditetapkan serta dikaitkan dengan teknik, kaedah dan alat bantu mengajar yang berpusatkan pelajar tanpa mengabaikan peranan secara tidak langsung sebagai pengurus kelas agar mencapai objektif pelajaran menurut Mok Soon Sang ( 2008: 245 ).
4.2.3   Membimbing murid-murid
Mengajar dalam bilik darjah bukanlah satu-satunya tugas seorang guru. Guru juga perlu membimbing pelajar untuk meneruskan pelajaran mereka. Murid-murid sering menghadapi masalah pembelajaran dalam bilik darjah dan juga masalah sosioemosi. Ramai pelajar yang tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pelajaran yang diikuti. Masalah ini hendaklah diselesaikan oleh guru untuk memastikan pelajarnya selesa semasa belajar. Muijs dan Reynolds ( 2001 : 45 ), mengatakan bahawa adalah sangat penting bagi guru supaya dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelajarnya dan menyelesaikan masalah itu secepat yang boleh. Bukan semua pelajar dalam bilik darjah mempunyai latar belakang dan sifat yang sama kata Mok Soon Sang ( 2008 : 51 ) . Terdapat juga pelajar yang bersifat pemalu dan kurang menonjol dalam kelas. Situasi seperti inilah yang memerlukan guru untuk bertindak sebagai pembimbing agar pelajar yang pemalu ini dapat melibatkan diri dalam aktiviti kelas. Guru juga perlu mendorong pelajar untuk belajar. Terdapat pelbagai cara untuk mendorong belajar. Salah satu caranya ialah dengan menyoal pelajar dengan soalan yang merangsang fikiran. Soalan juga mestilah seronok untuk dijawab oleh para murid. Menurut Ainon Mohd dan Abdullah Hassan ( 2005 : 76 ), dorongan akan timbul dalam diri pelajar apabila mereka merasa kejayaan telah dicapai dan bukannya kegagalan.
Bimbingan daripada guru sangat diperlukan oleh pelajar terutamanya menjelang peperiksaan yang penting seperti SPM bagi pelajar tingkatan lima atau pun PMR bagi pelajar tingkatan tiga. Terdapat segelintir pelajar yang bersifat rendah diri. Hal ini disebabkan kerana prestasi mereka yang kurang memberangsangkan di dalam kelas. Setiap kali peperiksaan mereka akan mendapat markah yang rendah. Untuk memastikan masalah ini tidak berlarutan, guru hendaklah cepat mengatasi masalah ini. Berbincang dengan pelajar tersebut adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah itu. Jika pelajar segan untuk meluahkan masalah mereka di dalam kelas, guru boleh berbincang dengan pelajar secara peribadi. Untuk menaikan semangat pelajar, guru boleh memberitahu pelajar tersebut bahawa mereka mampu untuk meningkatkan prestasi mereka jika pelajar itu sendiri yang berusaha dengan bersungguh-sungguh dan sanggup mencuba (Urdan dan Schoefelder, 2006 : 335 ) . Selain daripada berbincang dengan pelajar tersebut guru juga boleh menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat pelajar dan seterusnya menanam rasa keseronokan belajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran ataupun menggunakan pelbagai Alat Bantu Mengajar yang menarik.
4.2.4   Mengurus disiplin bilik darjah
Disiplin bilik darjah menurut Mok Soon Sang ( 2008 :453 ), merupakan peraturan yang dikenakan ke atas pelajar untuk mengawal tingkah laku dan mendisiplinkan diri semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang terbahagi kepada disiplin arahan guru, arahan kerja, arahan kumpulan dan arahan diri yang secara tidak langsung mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kecekapan perlaksanaan guru dalam mengurus disiplin arahan kerja dan arahan diri. Disiplin arahan kerja menurut Omardian Asahaari ( 1999 :127 ) mempuanyi ciri motivasi yang positif yang dapat menggalakkan pelajar menyelesaikan tugasan yang bergantung kepada kematangan mereka berdasarkan pengurusan pemberian jenis tugasan yang menarik, bermakna dan boleh disempurnakan mengikut masa yang ditetapkan, sesuai dengan umur dan keupayaan pelajar. Selain itu, menurut Sharifah Alwiah Alsagoff ( 1984 ) dalam Mok Soon Sang ( 2008 :456 ), pengurusan disiplin arahan diri merupakan jenis disiplin yang paling berkesan dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berikutan sikap patuh pelajar secara sukarela dan tidak sedar hasil daripada pemikiran yang matang akibat penerapan nilai murni oleh guru melalui latihan dan bimbingan.
4.2.5   Mewujudkan komunikasi dan interaksi
Komunikasi merupakan sebagai suatu proses penyampaian atau pertukaran maklumat antara dua individu, atau di antara seorang individu dengan sekumpulan manusia yang lebih dikenali sebagai sesuatu interaksi sosial yang terbahagi kepada lisan ( verbal ) dan bukan lisan ( non-verbal ) menurut Mok Soon Sang ( 2008 : 450 ) yang turut disokong oleh Ray Birdwhistell ( 1955 ) dalam Omardian Asahaari ( 1999 :23 ), bahawa lebih kurang 35 peratus komunikasi lisan dan 65 peratus komunikasi bukan lisan perlu digunakan oleh seorang guru semasa mengajar, malah kejayaan seorang guru dalam perlaksanaan komunikasi yang berkesan bergantung kepada jenis interaksi yang digunakan, iaitu interaksi dua hala di antara guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar dan pelbagai hala di antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan pelajar berdasarkan pendekatan aktiviti kumpulan melalui strategi berpusatkan pelajar . Menurut Mok Soon Sang ( 2008 :447-452 ) lagi, penghasilan interaksi yang berkesan pula bergantung kepada sikap kepimpinan demokratik seorang guru dalam menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan yang sanggup berkongsi kuasa dengan pelajar dalam hal perlaksanaan pengurusan aktiviti.
4.3        Penilaian keberkesanan pengajaran, pembelajaran, bahan-bahan dan objektif pelajaran.
Penilaian merupakan salah satu aktiviti proses pengajaran dan pembelajaran yang meliputi usaha menilai keberkesanan pengajaran, pembelajaran, bahan-bahan dan objektif pelajaran yang menjadi tenaga penggerak dalam proses perkembangan dan kemajuan pelajar secara sumatif dan formatif menurut Omardin Asahaari ( 1999 : 177 ). Menurut Esah ( 2003 ) dalam Siti Atiqah Sharudin ( 2008 :21 ) pula, keberkesanan pengajaran ditakrifkan sebagai pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dalam diri pelajar melalui pengalaman yang akan mengubah tingkah laku seseorang pelajar secara kekal yang dinilai berlandaskan penggunaan strategi, kaedah dan teknik mengajar. Keberkesanan pembelajaran pula dinilai berlandaskan prestasi murid dalam aktiviti pembelajaran mereka yang boleh diukur aras kualitinya berdasarkan ujian rujukan norma atau relatif dan kriteria menurut Mok Soon Sang ( 2008 :469 ) melalui aktiviti soal jawab dan begitu juga halnya dengan penilaian terhadap keberkesanan penggunaan bahan-bahan pembelajaran yang dapat meningkatkan tahap penerimaan maklumat deria utama manusia dengan lebih baik berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh pelajar. Hasil penilaian inilah yang akan menentukan guru mengesan pencapaian objektif pelajaran bagi membolehkannya merancang pengubahsuaian yang perlu untuk menambahbaikan pengajaranya, merangka strategi baru untuk membantu pelajar yang gagal mengusai kemahiran yang diajarkan dan menukar bahan-bahan pengajaran dengan lebih sesuai.
5.0        Kesimpulan
Secara keseluruhannya, guru berkesan di sekolah adalah guru yang tahu mengimbangi peranannya dengan mengambil kira aspek kualiti, kemahiran, personaliti dan kepelbagaian kaedah mengajar yang bertitik mula dari dalam diri guru tersebut yang akhirnya menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan berdasarkan perlakuan mengajar yang menekankan perancangan, perlaksanaan dan penilaian yang mana tahap penentuannya ditunjukkan berdasarkan keputusan dan kesan pengajaran mengikut perlakuan dan prestasi pelajar.







6.0        Bibliografi
Ainon Mohd dan Abdullah Hassan, 2005,  Pemikiran Reka Cipta : Kaedah Mengajar Dan Bahan Latihan Untuk Guru Dan Jurulatih, Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd
Atan Long, 1982, Psikologi Pendidikan, Malaysia : Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Azman Laut, 2005, Panduan Mengurus Pusat Sumber Sekolah : Siri Pengurusan Sumber dan Perpustakaan, PTS Profesional Publishing sdn.bhd.

B.L Sinha (2001). Teaching, Learning and Human Behaviour. Institute for Sustainable Development, Lucknow, Anmol Publication Pvt.Ltd.
Ee Ah Meng, 1993, Pedagogi II :Amalan Bilik Darjah, Kuala Lumpur : Fajar Bakti.
Halimah Harun, 2006, Minat, Motivasi, dan Kemahiran Mengajar Guru Pelatih. Universiti Malaya. Jurnal pendidikan, 31: 83-96.
Mahzan Arshad, 2008, Penidikan Lestari : Strategi Perancanagan dan Pelaksanaan, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Dictributors sdn.bhd.

Maimun Aqsha Lubis et.al., 2007, Persepsi guru dan pelajar terhadap kurikulum Berasaskan kompetensi. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. Jurnal pendidikan, 27 (1), 119-134.
Mohd Jamil Yaacob, 2005, Aplikasi Kognitif dalam Pendidikan, Pahang Darul Makmur : PTS Profesional Publising Sdn. Bhd.
Mohamad Johdi Hj. Salleh. (2007). Guru Efektif dan Peranan Guru Dalam Mencapai Objektif Persekolahan Sekolah Rendah: Perspektif Guru Besar. Institut Pendidikan International Islamic University Malaysia. Jurnal Pendidikan, 87-113.
Mohd Yusuf Abdullah, 2008, Pengetahuan Pedagogi Guru, Kota Kinabalu Sabah : Universiti Malaysia Sabah.

Mok Soon Sang, 2008, Psikologi Pendidikan untuk Pengajaran dan Pembelajaran, Puchong Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang, 2008, Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran, Puchong Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Muijs D. and Reynolds D., 2001, Effective Teaching : Evidence and Practice, London: Paul Chapman Publishing.

Norasiah Abdullah et.al., 2009, Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran, Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.
Omardin Asahaari, 1999, Pengajaran Kreatif untuk Pembelajaran Aktif, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Ormord.J.E., 2003, Educational Phychology: Developing Learners 4th edition, New Jersey, Upper Saddle River : Pearson Education.

Schaffner.E dan Schiefele.U., 2007, The effect of experimental manipulation of student motivation on the situational representation of text, Jurnal of Learning and Instruction, 17, 755-772.
Shahril @ Charil bin Hj Marzuki, 2004, Amalan Pengajaran yang berkesan : kajian di Beberapa Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan dan Selangor, Jurnal Pendidikan, Universiti Malaya, 29-40.
Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986, Ilmu Pendidikan :Pedagogi, Kuala Lumpur: Heinemann ( Malaysia ).

Siti Atiqah Sharudin, 2008, Faktor Yang Mempengaruhi Keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Dalam Bengkel Vokasional Di Dua Buah Sekolah Menengah Teknik Di Negeri Sembilan, Universiti Teknologi Malaysia.

Slavin, 1994, A theory of school and classroom organization, Hillsdale NJ: Erlbaun.
Sufean Hussin, 2005, Pentadbiran dalam Pembangunan Pendidikan, Pahang : PTS Professional Publishing Sdn.Bhd.

T.Marimuthu, 1990, Pengenalan Sosiologi Pendidikan, Petaling Jaya Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Urdan T. dan Schoenfelder  E., 2006, Classroom effects on student motivation:Goal structures, social relationships, and competence beliefs, Journal Of School Psychology, Bil 44, 331-349.

Zamri Mahamod & Mohamed Amin Embi, 2006, Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu Pelajar Pelbagai Etnik Bukan Melayu. University Kebangsaan Malaysia. Jurnal Pendidikan, 115-128.

No comments:

Post a Comment